PETALING JAYA: Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia) percaya, kerajaan akan memperoleh anggaran pendapatan lebih RM300 juta sekiranya peraturan vape diperkenalkan.
Pengarah Urusan organisasi bukan kerajaan itu, Datuk Fazli Nordin berkata, Malaysia mempunyai peluang untuk mengembangkan aliran pendapatannya di pasaran yang sedang membangun ini.
“Terdapat potensi pendapatan lebih dari RM300 juta untuk kerajaan jika kerangka percukaian termasuk vape e-cecair dengan nikotin yang merupakan pilihan sumber pendapatan baharu.
“Pasaran vape sudah lama wujud di negara ini dengan lebih sejuta pengguna. Sektor ini perlu dimanfaatkan segera agar kerajaan dapat memperoleh pendapatan selepas cukai dikenakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Organisasi itu memaklumkan, kerajaan telah membuat langkah yang tepat dengan mengenakan cukai eksais pada produk vape seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.
Bagaimanapun, cukai hanya merangkumi peranti vape dan e-cecair bukan nikotin yang merangkumi kurang daripada 5 peratus daripada keseluruhan pasaran.
Oleh itu, rangka kerja cukai perlu diperluas untuk memasukkan e-cecair vape dengan nikotin.
Fazli berkata, rangka kerja percukaian yang diperluas perlu dilengkapi dengan peraturan mengenai produk vape kerana ini akan memacu dan menjana kegiatan ekonomi dalam industri yang sedang berkembang ini.
“Peraturan yang komprehensif perlu diperkenalkan, lebih-lebih lagi kerana ini bukan sahaja memberi kesempatan meningkatkan pendapatan kerajaan tetapi turut mencipta pekerjaan, mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana, mendorong daya saing, memastikan kualiti dan standard produk dan menarik pelabur asing,” tambahnya.
Memetik Kajian Industri Vape Malaysia yang diterbitkan oleh Dewan Perniagaan Vape Malaysia, industri vape negara bernilai RM2.27 bilion.
Dalam laporan yang sama, kerajaan dianggarkan berpotensi memperoleh pendapatan cukai eksais hingga RM300 juta pada tahun pertama pungutan tersebut sekiranya e-cecair dengan nikotin dimasukkan. – UTUSAN