Perikatan Nasional (PN) harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap penangguhan pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 tahun (Undi18).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Pahang, Young Syefura Othman berkata, kerajaan PN tidak sewajarnya mengalihkan beban kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari menyifatkan tindakan menangguhkan pelaksanaan RUU berkenaan sebagai satu pengkhianatan kepada anak muda.
Menurutnya, apabila proses pindaan dilakukan, lebih dua pertiga ahli Parlimen memberikan sokongan termasuk beberapa ahli Parlimen yang kini menukar ‘nada’.
“Jika berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan sebaik sahaja negara berjaya memerangi Covid-19 dan selepas tamat darurat, sudah tentulah PRU-15 akan berlaku sebelum Undi18 ini dapat dilaksanakan pada September 2022.
“Ini bukan sahaja satu tindakan yang boleh mendiamkan suara anak muda malah secara jelas merompak hak dan menghancurkan harapan anak muda untuk menentukan kerajaan yang akan membuat banyak keputusan dasar yang melibatkan kehidupan mereka.
“Kerajaan PN harus lebih berani menghadapi anak muda dan juga undi anak muda jika mereka adalah seperti yang mereka dakwa – kerajaan prihatin kepada anak muda,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Young Syefura berkata, alasan diberikan SPR adalah tidak munasabah iaitu dengan mengatakan bahawa tempoh PKP adalah sebab yang menjejaskan persiapan mereka.
“SPR seharusnya sudah pun menjalankan persiapan untuk melaksanakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 kerana pindaan RUU ini telah diluluskan pada 16 Julai 2019.
“Walaupun berlakunya pertukaran kerajaan, ini tidak sepatutnya menjejaskan usaha SPR sebagai badan berkecuali yang menjalankan urusan berhubung hal ehwal pilihan raya,” katanya. -UTUSAN










