PETALING JAYA: UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) saling memerlukan dan jika mereka tidak bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kedua-dua parti itu tidak akan ada menang majoriti besar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berkata, walaupun UMNO yakin dapat memenangi PRU-15 jika bertanding solo, mereka tetap kehilangan sebahagian undi Melayu kerana berlaku pertembungan dengan Bersatu.
Malah, beliau meramalkan, keputusan PRU-15 tidak akan memihak kepada sesiapa dan berkemungkinan akan menyebabkan UMNO dan Bersatu tiada pilihan selain bekerjasama semula untuk membentuk pakatan baharu bagi menubuhkan kerajaan.
“Apa yang Tun Dr. Mahathir Mahathir maksudkan sebenarnya adalah apabila tiada kerjasama antara UMNO dan Bersatu, maka terpecahlah undi Melayu. Bukan sahaja antara dua parti itu tetapi juga Pas. Akan berlakulah perpecahan undi Melayu dan peratusan undi terhadap ketiga-tiga parti ini akan terjejas.
“Kalau UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding sendiri, mereka mungkin boleh menang dalam 40 peratus, Bersatu 30 peratus manakala Pakatan Harapan (PH) mungkin 30 peratus. Situasi akan tetap jadi deadlock kerana tiada siapa ada majoriti besar dan akhirnya mereka perlu adakan pakatan baharu bagi membentuk kerajaan,” katanya.
Pada masa sama, Mazlan berpendapat, UMNO dan BN tidak boleh memenangi PRU-15 dengan majoriti besar bukan sahaja disebabkan perpecahan undi Melayu tetapi juga kerana undi bukan Melayu masih tidak memihak kepada mereka.
“Kalau strategi UMNO adalah untuk memenangi PRU-15 dengan meraih undi Melayu, itu tidak mencukupi kerana mereka memerlukan undi bukan Melayu dan mungkin mereka perlu adakan kerjasama dengan PH,” katanya.
Justeru, Mazlan berkata, UMNO dan Bersatu akan rugi jika tidak bekerjasama pada PRU-15.
“Sekarang ini kira-kira 80 kerusi adalah majoriti pengundi Melayu. UMNO perlu bertanding sekurang-kurangnya 100 kerusi untuk menjadi parti dominan tetapi mereka mungkin hanya boleh menang separuh atau lebih sedikit daripada Bersatu jika mereka bertembung dalam pertandingan tiga penjuru.
“Sebab itu ada ahli-ahli UMNO pada peringkat Majlis Tertinggi dan peringkat bahagian tidak bersetuju untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, kerana mereka mungkin melihat dalam konteks yang lebih luas, sama seperti persefahaman yang terjalin antara UMNO dan Bersatu di Sabah,” kata beliau. – UTUSAN











