Tiga PATI tangkap ikan di zon larangan ditahan - Utusan Malaysia

Tiga PATI tangkap ikan di zon larangan ditahan

BOT nelayan tempatan dikendalikan tiga warga Myanmar ditahan Maritim Perak di Pulau Mentagor, dekat Pulau Pangkor, kelmarin. - GAMBAR IHSAN MARITIM MALAYSIA PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  Sebuah bot nelayan tempatan dikesan bukan sahaja menggunakan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja malah menangkap ikan di kawasan pesisiran pantai yang tidak dibenarkan.

Bot nelayan bersama tiga kru warga negara Myanmar itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak kira – kira 1.4 batu nautika barat  Pulau Mentagor, dekat Pulau Pangkor, kira-kira pukul 11.40 malam kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Shahrizan Raman berkata, bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan di lokasi berkenaan oleh Kapal Maritim (KM) Tugau ketika sedang melakukan rondaan Op Benteng.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh tiga kru warga negara Myanmar termasuk tekong berumur sekitar 20 hingga 40 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, kesemua nelayan asing itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (B)(i) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang dari lima batu nautika dan menggajikan pekerja warga negara asing.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

Katanya, kru dan tekong bersama bot tahanan diiringi ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu, Sitiawan dan tiba sekitar pukul 2.30 pagi semalam untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak bagi tindakan lanjut.

Shahrizan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut atau mana-mana kes pelanggaran undang-undang negara, agar  memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Perak 05 – 683 8737. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya