KUALA LUMPUR: Nenek kesayangan penyanyi, Kaka Azraff, Yang Asmah Long menghembuskan nafas terakhir pada 2.39 pagi tadi.
Berita pemergian arwah neneknya dikongsi menerusi akaun Instagram sebentar tadi.
“Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Buat makluman, dan mohon didoakan nenek kepada saya yang telah pulang menemui pencipta-Nya, Al-fatihah.
“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali. Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmat Mu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia,” kapsyen Kaka pada gambar bersama neneknya ketika kecil.
Pun begitu, penyanyi lagu Karma itu tidak menyatakan secara terperinci mengenai penyakit yang dihidapi neneknya.
Kaka turut berkongsi gambar kenangan terakhir di Instagram Story.
“Saya akan selalu merindui nenek. Orang pertama yang ajar Kaka menyanyi, teman tidur dari bayi sampai besar. My best friend, I love you so much uwan,” coret Kaka.
Menjengah ruangan komen, ruang itu dibanjiri ucapan takziah daripada rakan kenalan dan pengikut penyanyi tersebut.
Dalam pada itu, Ratu Rock negara, Ella yang juga emak saudara kepada Kaka turut berkongsi berita duka itu di media sosialnya.










