Taktik jual rokok seludup guna pintu belakang terbongkar - Utusan Malaysia

Taktik jual rokok seludup guna pintu belakang terbongkar

SUSPEK berusia 24 tahun ditahan polis kerana menjual rokok seludup menggunakan pintu belakang sebuah premis rumah kedai di Durian Tunggal, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kegiatan seorang lelaki menjual rokok seludup menggunakan pintu belakang sebuah premis rumah kedai dihidu polis apabila kesemua 15,360 batang rokok dirampas dalam serbuan di Durian Tunggal, di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1 petang itu, suspek ditahan berusia 24 tahun dari Bakri, Muar, Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi menemukan sebanyak 128 karton rokok pelbagai jenis dipercayai tanpa cukai bernilai lebih RM20,000.

“Bahagian depan mendapati premis ditutup dan seperti tidak beroperasi, namun pemeriksaan di bahagian belakang terdapat sebuah pintu dipercayai dibuka bagi kegiatan menjual rokok seludup.

“Pemeriksaan di bahagian dalam premis turut menjumpai 128 karton rokok tidak bercukai dengan anggaran pasaran semasa bernilai RM21,410,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Sukri menambah, polis percaya suspek menjadikan premis itu sebagai stor untuk pasaran peruncit-peruncit di sekitar Durian Tunggal sejak enam bulan lalu.

“Semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya