PUTRAJAYA: Semua diplomat Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur diarah meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam susulan keputusan drastik kerajaannya mengarahkan penutupan misi Kedutaan Malaysia di Pyongyang.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan mengikut jejak Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) menutup Kedutaan Malaysia di ibu negaranya yang operasi pejabat itu telah pun digantung sejak 2017.
“Pada masa sama, kerajaan Malaysia juga memerintahkan semua staf diplomatik di Kedutaan DPRK untuk keluar dari negara ini dalam tempoh 48 jam,” kata kenyataan itu.
Tindakan itu menurutnya, sebagai merujuk kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia berkuat kuasa semalam..
Ia ekoran keputusan sebuah mahkamah di Kuala Lumpur yang mengarahkan seorang rakyat Korea Utara, Mun Chol-myong diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan jenayah.
Wisma Putra menegaskan, perbicaraan tertuduh juga dilaksanakan mengikut lunas perundangan dan Malaysia bertegas menolak permintaan DPRK untuk campur tangan terhadap sistem kehakiman negara ini.
“Proses ekstradisi turut dilakukan setelah beberapa kali terpaksa ditunda manakala hak Chol-myong semasa dalam tahanan polis dijamin mengikut peraturan.
“Ini termasuk bebas bertemu peguam bela selain bantuan konsular daripada pihak kedutaan dan siri lawatan oleh ahli keluarganya sendiri,” jelasnya.
Menurut Wisma Putra, Chol-myong ditahan pihak berkuasa negara ini pada 14 Mei 2019 dengan berdasarkan waran penangkapan di bawah Seksyen 13 (1)(b) Akta Ekstradisi 1992.
Beliau didakwa atas kesalahan konspirasi pengubahan wang haram serta pelanggaran sekatan perdagangan dengan Korea Utara yang dilaksana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Semua kes berkenaan tertakluk di bawah undang-undang Malaysia sebelum beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019 sebelum disabitkan kesalahan.
“Permohonan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2019 dan rayuan beliau di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober 2020 juga ditolak,” katanya.
Justeru, Wisma Putra menegaskan yang Malaysia berhak mempertahan kedaulatan dan melindungi kepentingan negara ini selagi mana berdasarkan prinsip kedaulatan perundangan.
Sehubungan itu, kerajaan melahirkan kekesalan atas tindakan keras Korea Utara semalam dan menyifatkan keputusan drastik pihak Pyongyang tersebut sebagai amat tidak konstruktif.
“Malaysia sentiasa menganggap DPRK selama ini sebagai rakan karib sejak mula hubungan diplomatik diwujudkan secara rasmi pada 1973,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Korea Utara menyelar tindakan Malaysia yang mengekstradisi rakyatnya itu ke AS selepas dimohon oleh Washington.
Kementerian Luar Korea Utara menerusi satu kenyataan yang dipetik agensi berita KCNA menegaskan, tindakan Malaysia ‘merosakkan keseluruhan hubungan antara kedua-dua negara yang terjalin atas rasa hormat terhadap kedaulatan masing-masing’.
“Tindakan Malaysia diibaratkan seperti ‘jenayah yang tidak boleh dimaafkan’ kerana menjadikan rakyat kami sebagai korban untuk kepentingan AS.
“Susulan itu, hubungan diplomatik antara Korea Utara dengan Malaysia sudah terputus,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, Korea Utara memberi amaran AS akan menerima ‘balasan’ berhubung permohonan negara itu mengekstradisi rakyatnya.
Korea Utara juga dilaporkan mendakwa Malaysia dijanjikan ‘habuan besar’ jika mengekstradisi tertuduh ke Amerika Syarikat (AS).
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Damansara dekat sini lengang seperti tidak beroperasi.
Sehingga pukul 5 petang semalam, hanya kelihatan pergerakan kenderaan rasmi negara itu yang dipercayai membawa pegawai kedutaan tersebut.
Di luar bangunan itu pula kelihatan petugas media yang menunggu untuk mengikuti perkembangan berikutan pengumuman Pyongyang berkenaan. – UTUSAN ONLINE










