Sidang Parlimen: DAP Perak lapor polis kenyataan Takiyuddin - Utusan Malaysia

Sidang Parlimen: DAP Perak lapor polis kenyataan Takiyuddin

ABDUL Aziz Bari (kanan) dan Howard Lee menunjukkan laporan polis terhadap Takiyuddin mengenai sidang Parlimen di IPD Ipoh, Perak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: DAP Perak membuat laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai sidang Parlimen.

Laporan dibuat Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, sidang Parlimen harus diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong jelas tidak memberi halangan untuk sidang Parlimen diadakan ketika darurat.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya memberikan sebarang alasan untuk tidak mengadakan sidang Parlimen.

“Namun kerajaan nampaknya memang tidak mahu memberi nasihat kepada Istana Negara untuk mengadakan sidang Parlimen dan ini bertentangan dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa) 2021 itu sendiri,” katanya kepada pemberita di sini.

Laporan polis turut dibuat oleh Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Nasional, Howard Lee Chuan How.

Abdul Aziz yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata, laporan polis yang dibuat itu adalah salah satu usaha agar kerajaan mengadakan sidang Parlimen.

“Kita mulakan dan harap yang lain buat bagi memberikan kesedaran kepada rakyat,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan boleh mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar termasuk Kementerian Kesihatan untuk sidang Parlimen diadakan kerana banyak sektor termasuk sekolah juga sudah dibuka.

Katanya, jika tidak sesuai diadakan di bangunan Parlimen, mungkin boleh dipertimbangkan lokasi lain asalkan boleh bersidang.

“Kalau dikatakan bahaya bersidang dalam Parlimen, payah sangat bawah pokok pun boleh. Tiada halangan sebenarnya untuk sidang Parlimen diadakan di tempat lain.

“Semua ahli Parlimen pembangkang tak ada masalah nak bersidang, yang ada masalah sekarang ini adalah kerajaan,” katanya.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Namun pada 3 Mac lalu, kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Takiyuddin berkata, Jemaah Menteri membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya