‘Selamat diri’ punca parti Melayu berpecah - Utusan Malaysia

‘Selamat diri’ punca parti Melayu berpecah

Wan Saiful Wan Jan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Bersikap ego dan demi menyelamatkan diri adalah punca utama parti Melayu berpecah-belah sekali gus membuka ruang kepada parti dimonopoli kaum lain menyebarkan pengaruh sokongan di seluruh tanah air.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, malah terdapat sesetengah pihak enggan meletakkan kepentingan ummah sebagai keutamaan akibat kepen­tingan tertentu menjadi alasan kuat parti Melayu terus bertelagah dan gagal bersepakat.

“Tetapi saya rasa bukan semua orang sebegini. Hanya beberapa orang. Saya rasa majoriti orang Melayu masih mahukan kestabilan politik dan kerajaan yang berintegriti.

“Hal ini kerana (perpecahan parti Melayu) ada sikap ego, nak selamatkan diri sendiri, tidak mahu letak kepenti­ngan ummah di hadapan, semua ini menjadi faktor penyumbang perpecahan politik orang Me­layu,” katanya.

Akhbar ini semalam me­laporkan DAP yang kini memiliki kedudukan terbesar di Dewan Rakyat berbanding parti lain dengan penguasaan 42 ahli Parlimen dilihat berpotensi mengetuai satu pakatan politik terkuat tanah air.

Situasi ini berbeza dengan parti-parti politik Melayu Islam yang berlaku perpecahan dan melompat parti sehingga melemahkan mereka.

Wan Saiful menambah, sekiranya parti politik Melayu terus berpecah-belah, parti yang bakal mendapat kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah Pakatan Harapan (PH)

Katanya, perkara itu telah dibuktikan sewaktu pilihan raya umum lalu yang menyaksikan kemenangan PH ekoran pertandingan tiga penjuru antara parti itu dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas.

“Jika dalam PRU-15 Perikatan Nasional (PN) lawan BN, maka saya rasa sekali lagi yang menang ialah PH. Dalam PH, parti paling berkuasa ialah DAP. Rundinglah dengan siapa pun, yang dapat faedah akhir nanti ialah DAP.

“Sebab itu parti-parti Melayu kena jawab adakah kita nak kekalkan kuasa politik di tangan orang Melayu atau kita nak letak permaidani merah untuk DAP kembali jadi parti paling kuat di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15,” katanya.

Beliau menegaskan, perpe­cahan parti Melayu hanya melemahkan politik masyarakat itu dan PRU-14 menyaksikan mereka berpecah sebaliknya pada masa itu ia adalah isu prinsip integriti, tadbir urus, dan kleptokrasi.

“Sekarang ini ia adalah me­ngenai kuasa dan kepentingan peribadi semata-mata. Apakah kita nak biar politik Melayu jadi lemah semata-mata sebab kepentingan dan keselamatan kedudukan peribadi?,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN