CYBERJAYA : Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memohon warganet dan peminatnya agar tidak memanjangkan isu tindakan Aishah Arifin menyekat akaunnya dalam Instagram (IG).
Menurutnya, ia bukan satu perkara yang perlu diperbesarkan memandangkan keadaan itu mungkin berlaku atas faktor tidak disengajakan.
“Jujurnya saya pun tak tahu nak cakap macam mana sebab tak periksa pun mengenai hal itu (sekatan Aishah) selain tidaklah selalu pegang telefon di tangan.
“Tapi bagi saya, kadang kita sendiri pun pernah secara tidak sengaja sekat akaun IG orang, itu perkara biasa. Mungkin tak perasan.
“Bila saya baca (artikel Aishah), baru saya tahu pasal isu ini. Sebelum ini, saya sendiri pun tak jumpa (IG Aishah),” katanya.
Siti Nurhaliza berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pelancaran Beausiti X Wonderlab memperkenalkan produk Beaukids di sini hari ini.
Selain itu, tambah Siti Nurhaliza, dia tidak melihat ia sebagai satu isu kerana apa yang utama adalah sifat saling menghargai sebagai orang seni.
Terdahulu,kecoh dalam media sosial tentang dakwaan kononnya penyanyi legenda tersebut menyekat akaun Siti Nurhaliza di IG.
Menurut Aishah, dia tidak sengaja berbuat demikian kerana keliru dengan akaun-akaun palsu yang menggunakan nama Siti Nurhaliza.
Hal itu kononnya berlaku setelah Aishah dikecam bertubi-tubi oleh warganet yang tidak berpuas hati dengan dirinya yang menyampaikan lagu Aku Bidadari Syurgamu nyanyian asal Siti Nurhaliza pada separuh akhir Muzik-Muzik akhir tahun lalu.










