Ramai pengguna belum tahu hak  - Utusan Malaysia

Ramai pengguna belum tahu hak 

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat di negara ini tentang hak mereka sebagai pengguna masih rendah, malah belum pun mencapai 85 peratus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, buat masa ini, Indeks Pendayaupayaan Pengguna adalah sederhana iaitu 63.1 peratus yang menunjukkan masyarakat di negara ini masih belum menghayati dan mempraktikkan hak-hak mereka sebagai pengguna. 

Justeru, katanya, kementerian menyasarkan Indeks Pendayaupayaan Pengguna di negara ini dapat ditingkatkan melebihi 85 peratus dalam masa dua tahun akan datang. 

Menurtunya, bagi tujuan itu, kementerian akan terus merangka program advokasi di setiap peringkat masyarakat bagi menangani isu-isu kepenggunaan semasa. 

“Kementerian akan terus memainkan peranan yang lebih aktif dalam memberi pendidikan kepada pengguna mengenai kelestarian alam sekitar dengan kerjasama NGO, komuniti dan masyarakat awam,” katanya berucap sempena sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia dah Hari Pengguna Kebangsaan 2021 di Facebook KPDNHEP hari ini. 

Alexander berkata, kementerian telah membangunkan pelbagai inisiatif dalam memperkasakan pengguna antaranya Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang merupakan satu platform alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna menfailkan tuntutan tebus rugi bagi pembelian barang dan perkhidmatan. 

Beliau berkata, bagi tempoh tahun 2015 sehingga Februari lalu, terdapat sebanyak  32,550 kes pemfailan telah direkodkan melibatkan jumlah tuntutan sebanyak RM176.03 juta.  

“Selain itu, kementerian membangunkan aplikasi Price Catcher untuk membuat perbandingan harga dan Aplikasi MySales Tracker bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada pengguna membuat semakan aktiviti jualan murah. 

“Terdapat juga sembilan saluran aduan untuk pengguna menyalurkan sebarang isu berkaitan kepenggunaan,” katanya. 

Berhubung sambutan itu, Alexander berkata, kerajaan bersetuju menjadikan tarikh 15 Mac setiap tahun sebagai Hari Pengguna Kebangsaan bersempena dengan sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia yang disambut serentak seluruh dunia setiap tahun anjuran Consumers International sejak 1983. 

Bertemakan ‘Menangani Pencemaran Plastik’, Alexander berkata, pencemaran merupakan salah satu isu dan cabaran terbesar yang dihadapi pada masa ini terhasil daripada pengurusan buangan yang tidak berhemah dan teratur. 

Menurutnya, berdasarkan kajian World Wide Fund for Nature (WWF) pada tahun 2019, Malaysia adalah antara negara tertinggi menggunakan plastik iaitu lebih kurang 16.78 kilogram setiap individu berbanding negara China, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.  

“Kerajaan telah memulakan advokasi dan peraturan penggunaan plastik guna sekali sejak 2019 dan ini akan diteruskan dan dipertingkatkan sehingga pengguna benar-benar faham dengan bahaya plastik guna sekali kepada kehidupan dan bumi kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN