JOHOR BAHRU: Sebuah rumah di Iskandar Puteri, dekat sini yang dijadikan tempat menyimpan dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM347,000 diserbu polis Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 31 tahun.
Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya merampas dadah jenis syabu sebanyak 9.17 kilogram (kg) dan ketamin seberat 176.54 gram.
“Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menyewa rumah jenis berpagar dan berpengawal untuk dijadikan tempat menyimpan dadah.
“Hasil siasatan yang dijalankan bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Iskandar Puteri mendapati hampir seminggu rumah itu dijadikan tempat menyimpan dadah.
“Dengan tertangkapnya suspek ini, polis berjaya merampas dadah jenis syabu dan ketamin bernilai lebih RM347,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta yang digunakan suspek.
Katanya, suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sejak awal tahun hingga 25 Mac lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah membuat tangkapan seramai 3,363 orang atas pelbagai kesalahan dadah.
“Dalam tempoh yang sama telah berjaya membuat rampasan dadah lebih enam tan dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM335 juta.
“Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” ujarnya. – UTUSAN










