PM ingatkan polis tidak menyebelahi mana-mana pihak - Utusan Malaysia

PM ingatkan polis tidak menyebelahi mana-mana pihak

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta polis supaya tidak masuk campur atau mengambil tindakan yang menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik.

Pesanan itu disampaikan secara peribadi kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu pertemuan yang diadakan selama satu jam lima minit, pagi tadi.

Abdul Hamid berkata, Perdana Menteri juga mahu proses undang-undang terus berjalan dengan telus tanpa gangguan dan halangan.

“Saya baru sahaja berjumpa dengan Perdana Menteri, sebelum saya bertolak untuk sampai di sini pagi tadi selama satu jam lima minit.

“Saya luahkan beberapa perkara dan beliau juga memberikan pandangan, penjelasan dan salah satu daripada apa yang beliau sampaikan ialah agar polis jangan masuk campur dalam tindakan yang dilihat menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau mengulas berhubung dakwaan terdapat Ahli Parlimen yang didesak menerusi kempen agresif dilakukan pihak tertentu untuk menyokong kerajaan sedia ada dan jika tidak berbuat demikian mereka akan terdedah kepada penganiayaan.

Abdul Hamid turut memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu sentiasa berada pada landasan yang betul dengan memainkan peranan seperti ditetapkan dan terus melaksana tugas serta tanggungjawab dengan adil.

“Tanggungjawab itu mesti dilakukan tanpa memilih bulu dan sekiranya PDRM menyebelahi mana-mana pihak, negara akan menjadi tidak aman. Oleh itu polis mesti dilihat berada di tengah.

“Memang ada cubaan daripada pihak untuk mempengaruhi polis, ini mentaliti lama daripada dahulu lagi, mereka mesti berbaik-baik dengan polis, kerana jika tidak nanti semua perkara tak boleh, ini idea lapuk.

“Sehubungan itu saya tegaskan kepada anak buah saya, kita mesti berlaku adil dan jangan dipergunakan mana-mana pihak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN