Najib mohon dokumen bank syarikat suami Zeti - Utusan Malaysia

Najib mohon dokumen bank syarikat suami Zeti

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini memohon 19 dokumen bank beberapa buah syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar.

Turut dimohon ialah dokumen-dokumen berkaitan prosiding lucut hak aset yang dirampas dari sebuah unit kondominium mewah milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. berjumlah RM680 juta.

Semua dokumen yang dimohon didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan tersebut dinyatakan dalam notis usul difailkan Najib melalui firma guaman, Tetuan Shafee & Co. di Kompleks Mahkamah di sini hari ini dengan menamakan pendakwaan sebagai responden tunggal.

Permohonan itu akan disebut pada 26 Mac ini.

Antara syarikat yang disenaraikan Najib dalam permohonannya untuk mendapatkan dokumen perbankan ialah Aktis Capital Singapore Private Limited, Country Group Securities Public Company Limited, ACME Time Limited (BVI), Butamba Investment Limited, Central Holding Limited dan Iron Rhapsody Limited.

Sebuah portal berita dalam laporannya bertarikh 3 Mac lalu menyatakan Iron Rhapsody telah menerima kira-kira AS$16.22 juta (kira-kira RM65.71 juta) daripada syarikat kendalian Jho Low dalam lima transaksi.

Suami Zeti, Datuk Dr. Tawfiq Ayman adalah pemilik benifisial syarikat itu yang mana Iron Rhapsody dan kini disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Selain permohonan mendapatkan dokumen-dokumen tersebut, Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon untuk memanggil dua pegawai polis sebagai saksi dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi Najib.

Menurut afidavit sokongan Najib, beliau mendakwa responden, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Bank Negara Malaysia sengaja menyekat pihaknya daripada mendapatkan dokumen-dokumen itu dan keterangan yang mungkin berpihak kepadanya.

“Responden juga tidak mahu saya memperoleh dokumen-dokumen bank dan keterangan berkaitan kerana ia akan membantu pembelaan saya,”ujarnya.

Menurut Najib, dokumen-dokumen tersebut adalah penting agar pembelaannya tidak dianggap sebagai sesuatu yang difikirkan kemudian (afterthought).

Selain itu, beliau memohon untuk memanggil Senior Asisten Komisioner (SAC) R. Rajagopal, Pengarah Bahagian Pencegahan Wang Haram SPRM, Timbalan Pesuruhjaya Mohammad Zamri Zainul Abidin dan Pengarah Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan Kewangan BNM, Mohd. Fuad Arshad senagai saksi dalam perbicaraan 1MDB.

Ujar Najib, ketiga-tiga individu ini tidak disenaraikan sebagai saksi.

“Penilaian terhadap kredibiliti saksi Responden merupakan satu faktor yang perlu dipertimbangkan dalam membuktikan kes prima favie terhadap saya. Oleh itu, adalah wajar semua keterangan wajar dikemukakan kepada mahkamah,” kata Najib.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya