Muhyiddin jangan ‘takut’ adakan sidang Parlimen - Utusan Malaysia

Muhyiddin jangan ‘takut’ adakan sidang Parlimen

ah long
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu ‘takut’ memanggil sidang Parlimen selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan Dewan Rakyat boleh bersidang.

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat, ini kerana tidak ada mana-mana pihak yang ada majoriti jelas dan mencukupi untuk membentuk kerajaan selain Perikatan Nasional (PN).

Malah ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau menganggap tindakan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong menyatakan soko­ngan kepada Muhyiddin sedikit sebanyak memberi keyakinan untuk memanggil sidang Parlimen serta meredakan isu majoriti tipis.

“Kalau pun isu Perdana Menteri tiada majoriti di Parlimen, persoalannya adakah pemimpin lain mempunyai majoriti? Tun Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) sendiri mengatakan tiada pemimpin atau parti lain yang mempunyai majoriti sekarang.

“Sebenarnya membentangkan undi tidak percaya tidak perlu di Dewan Rakyat. Kalau benar ada pemimpin politik yang mempunyai majoriti sekarang, sudah tentu beliau akan memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mencadangkan pertukaran kerajaan,” katanya.

Utusan Malaysia pada 25 Februari lalu melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan perkenan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof berpendapat, sidang Parlimen boleh menjadi penentu kepada masa depan kerajaan diterajui Muhyiddin, sama ada berlaku usul undi tidak percaya ataupun pembubaran Parlimen.

“Sidang Parlimen akan datang membuka pelbagai kemungkinan terutamanya jika kerajaan perlu membuktikan bilangan majoriti melalui ka­edah usul undi percaya atau tidak percaya.

“Malah sidang Parlimen juga bergantung kepada tahap jangkitan Covid-19 dan kecepatan program vaksinasi terhadap ahli-ahli parlimen, menteri-menteri dan kakitangan Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, Fathi berpandangan, Muhyiddin tidak mempunyai sebab untuk tidak mengadakan sidang Parlimen kerana membuktikan bilangan majoriti tidak hanya terhad di Parlimen semata-mata.

“Ada pelbagai cara lain yang tidak formal untuk buktikan sokongan majoriti untuk bentuk kerajaan seperti mempersembahkan jumlah soko­ngan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×