PETALING JAYA: Pertemuan menteri dan timbalan menteri UMNO bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin tidak menetapkan keputusan sama ada mereka perlu meletak jawatan atau sebaliknya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, sebaliknya Perdana Menteri meminta mereka bertugas seperti biasa demi rakyat.
Katanya, dalam pertemuan tersebut menteri dan timbalan menteri UMNO difahamkan hanya meluahkan perasaan yang mana rata-ratanya tersepit dengan apa yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 minggu lalu.
“Memang pertemuan itu ada dibincangkan mengenai pendirian orang UMNO sama ada hendak letak jawatan atau pun tidak.
“Tapi tak ada apa pun yang berlaku. Sekadar luahan perasaan yang mereka tersepit dengan arahan parti. Jadi Perdana Menteri minta mereka buat sahaja kerja macam biasa demi rakyat,” katanya.
Pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berakhir Ahad lalu, perwakilan yang bersidang sebulat suara memberikan mandat kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan tempoh kepada UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya PN tidak membubarkan Parlimen sebelum atau selepas tempoh darurat 1 Ogos ini, UMNO akan menarik diri daripada menyokong kerajaan sedia ada.
Dalam perhimpunan itu juga Ahmad Zahid turut mencabar seorang menteri daripada parti itu untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet dengan serta-merta.
Veteran UMNO, Datuk Seri Tengku Razaleigh Hamzah turut menyatakan perkara yang sama dengan menyarankan kesemua menteri dan timbalan menteri UMNO dalam kerajaan PN meletak jawatan dengan segera, selaras dengan ketetapan UMNO yang telah memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Namun, kenyataan itu disanggah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dengan menjelaskan Ahmad Zahid tidak harus mengeluarkan kenyataan tersebut, apatah lagi beliau memegang jawatan sebagai presiden.
Dalam pada itu tiga menteri UMNO yang berada dalam Kabinet PN ialah Menteri Kanan Keselamatan (Kanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terlibat secara langsung dalam usaha kerajaan mengekang penularaqn Covid-19.
Penarikan diri ketiga-tiganya daripada Kabinet dibimbangi menjejaskan usaha-usaha yang telah dirancang oleh kerajaan terutama ketika memasuki fasa kedua Program Imuniasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahid Zainul Abidin berkata, kesemua 17 Menteri dan Timbalan akan kekal bersama Muhyiddin sehingga Ogos ini.
Kata Zahid, tiada gunanya jika mereka meletak jawatan sekarang kerana ia menjadi keadaan negara lebih teruk, ditambah pula menghadapi pandemik Covid-19.
Sementara itu,. Khairy yang menjelaskan terdapat satu cara yang boleh menyelesaikan kemelut dalaman ini iaitu menyegerakan pemilihan UMNO yang sepatutnya dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
“Hanya satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman UMNO. Segerakan pemilihan parti. Jangan tangguhkan sehingga selepas PRU.
“Sepatutnya pemilihan diadakan tahun ini,” jelasnya menerusi Instagram, semalam. – UTUSAN










