KEMAMAN: Tindakan mekanik menghasilkan senapang angin untuk memburu ayam hutan mengundang padah apabila dia ditahan polis, awal pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, lelaki berusia 58 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Mak Lagam bersama dua senapang angin dipercayai buatan sendiri, kira-kira pukul 12.15 tengah malam.
“Suspek mengaku membuat senapang itu dua minggu lalu selepas mempelajari kaedahnya menerusi YouTube.
“Turut dirampas satu botol cecair dan lima biji guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini hari ini.
Mohd. Haki berkata, pemeriksaan mendapati suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan dadah selain positif dadah jenis methamphethamine.
Katanya, suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. -UTUSAN ONLINE









