TEMERLOH: Mayat seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh yang hilang dihanyutkan arus Sungai Pahang berhampiran Kampung Loyang di sini ditemukan hari ini, selepas tujuh hari dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, mayat mangsa, Mohd Hakim Faqih Norazmi,16, ditemukan kira-kira tiga kilometer daripada tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa ditemukan pada pukul 12.33 tengah hari di kawasan air yang cetek berdekatan jambatan Lebuh Raya Pantai Timur dekat Kampung Paya Jejawi oleh orang awam yang membantu operasi pencarian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas)Temerloh untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Pada 14 Mac lalu, dua individu iaitu seorang kanak-kanak dan seorang remaja hilang dibawa arus ketika mandi di Sungai Pahang bersama lima ahli keluarga mereka berhampiran Kampung Loyang di sini.
Dua mangsa yang hilang ialah Mohd. Hakim Faqih dan anak saudaranya Mohammad Naufal Farhan Mohd. Azrul yang berusia lapan tahun.
Bagaimanapun pada 15 Mac lalu, mayat Mohammad Naufal Farhan ditemukan pada pukul 10.33 pagi oleh pasukan bomba.
Mangsa ditemukan pasukan penyelam bomba di dalam sungai, kira-kira 35 meter dari tempat mangsa jatuh. – UTUSAN