BALING: Masalah gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk di kawasan pedalaman daerah ini dijangka selesai apabila projek pembinaan loji rawatan air (LRA) di Sungai Limau, Kupang, di sini siap sepenuhnya pada 2023.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Mohd. Nasir Idris berkata, projek pembinaan loji air tersebut akan dimulakan dengan segera selepas urusan berkaitan tender selesai.
Menurutnya, projek itu terhenti sejak 2017 berikutan beberapa masalah yang perlu diselesaikan.
“Bekalan air dari loji air tersebut dijangka dapat membekalkan air secukupnya kepada penduduk di kawasan hujung daerah ini seperti Tanjung Pari, Bukit Iboi, Kampung Batu 7 dan kampung-kampung lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Tanjung Pari di sini semalam.
Utusan Malaysia pada 15 Mac lalu melaporkan dianggarkan 15,000 penduduk melibatkan kira-kira 20 kampung di daerah ini tidak mendapat bekalan air air bersih sejak 10 tahun lalu, sehinggakan terpaksa bergantung kepada sumber seperti air bukit, sungai dan perigi untuk kegunaan harian.
Kehidupan penduduk di pedalaman itu jauh ketinggalan apabila masih lagi tidak mendapat bekalan air bersih yang sempurna.
Selain dikatakan berdepan masalah tekanan air yang rendah di beberapa tempat, penduduk juga mendakwa mereka tidak mampu membiayai kos pemasangan paip air yang tinggi.
Bagaimanapun Mohd. Nasir tidak memaklumkan peruntukan membina loji air tersebut.
Dalam pada itu beliau berkata, langkah penyelesaian jangka pendek juga perlu dilakukan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi meringankan beban penduduk di kawasan terlibat.
Sehubungan itu pihaknya mencadangkan SADA membina telaga tiup di beberapa tempat yang sesuai untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi disalurkan kepada penduduk. – UTUSAN







