Malaysia akan tahan kapal kontena bawa sisa plastik dari AS - Utusan Malaysia

Malaysia akan tahan kapal kontena bawa sisa plastik dari AS

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air bersedia menahan sebuah kapal asing yang disyaki membawa kontena mengandungi sisa plastik dari Amerika Syarikat (AS).

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menerima maklumat mengenai kes itu daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac lalu.

“Kapal itu berlepas dari Los Angeles, AS pada 14 Februari lalu dan dijangka tiba di Pelabuhan Klang, Selangor pada 22 Mac ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kontena tersebut dihantar dengan menggunakan agen perkapalan antarabangsa.

JAS ujarnya, sudah menghubungi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Westport Malaysia Sdn. Bhd. serta Unit Kawalan Kontena Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan penahanan.

Pemeriksaan bersepadu JAS turut akan dilakukan bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“Ia akan dijalankan sejurus kapal itu tiba dan JAS mendapati tiada sebarang permohonan pengimportan sisa plastik ini yang diterima dari negara pengeksport,” ujarnya.

JAS kata beliau, merupakan pihak berkuasa kompeten bagi kawalan sisa plastik merentas sempadan di bawah Konvensyen Basel yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari lepas.

Beliau pada masa sama telah mengarahkan JAS bekerjasama dengan pihak berkuasa AS yang berkenaan untuk membanteras kemasukan haram sisa plastik ke Malaysia dari sana.

Tindakan tegas katanya, akan diambil jika ada pihak dikesan gagal mematuhi kriteria dan prosedur pengimportan sisa plastik yang telah pun ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

“Saya ingin beri amaran kepada agen pengimport, syarikat kapal dan pengimport yang subahat seperti diperuntukkan Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling,” jelas Tuan Ibrahim. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN