MAA tiada rancangan mohon sambungan pengecualian cukai jualan kereta - Utusan Malaysia

MAA tiada rancangan mohon sambungan pengecualian cukai jualan kereta

Pelaksanaan PKPB pada April lalu menjejaskan jualan kereta sepanjang bulan tersebut yang menurun berbanding bulan sebelumnya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) buat masa ini tiada rancangan untuk membuat permohonan melanjutkan insentif pengecualian cukai jualan menerusi pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) namun tidak menolak akan melakukannya kelak.

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, skim insentif yang diperkenalkan pada tahun lalu itu memang membantu pemain industri automotif tempatan mencatatkan peningkatan jualan yang tinggi berbanding keadaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Skim berkenaan telah membantu meningkatkan jualan terkumpul kenderaan kepada 529,434 unit tahun 2020 berbanding sasaran asal kami iaitu 470,000 unit.

“Oleh itu, kami akan cuba bincang perkara itu bersama kerajaan dan mungkin akan memohon untuk melanjutkan pengecualian pembayaran cukai itu nanti sebagai usaha untuk merancakkan semula jualan kenderaan,” katanya dalam majlis sidang akhbar yang diadakan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Aishah menjelaskan, peningkatan jualan tersebut turut dibantu oleh beberapa faktor seperti kadar faedah pembiayaan pinjaman lebih rendah antara purata dua hingga 2.2 peratus (mengikut model kenderaan), keyakinan pengguna dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sudah kembali beroperasi sepenuhnya.

“Kami percaya untuk separuh tahun ini, jualan akan lebih baik berbanding separuh tahun kedua 2020.

“Namun, selepas tamatnya Penjana, jualan kenderaan akan susut untuk tempoh antara satu hingga tiga bulan dan akan kembali pulih selepas itu,” tambahnya.

Beliau turut memberitahu, satu-satunya perkara yang dapat mendorong penjualan kereta ialah penurunan harga kereta, dan ia haruslah melalui insentif seperti skim tersebut.

Pada 29 Disember lalu, kerajaan telah membuat pengumuman untuk menyambung inisiatif pengecualian cukai jualan dalam Penjana sehingga Jun 2021 walaupun sebelumnya mereka telah menolak permohonan melanjutkan skim itu.

Penjana menawarkan insentif pengecualian cukai jualan sebanyak 100 peratus untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus untuk model import (CBU). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya