PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menerima rakan sejawatnya, Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan sempena lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula esok hingga Rabu ini.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuhkan hubungan erat antara Malaysia dan Singapura.
“Hishammuddin dan Balakrishnan akan berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu yang melibatkan kepentingan bersama dalam konteks kerjasama dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa.
“Kedua-dua Menteri Luar ini akan turut meneroka jalinan kerjasama pasca Covid-19 termasuk pensijilan vaksinasi timbal balas yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya di sini hari ini.
Semasa lawatan tersebut, Balakrishnan juga dijadualkan mengadakan kunjungan hormat dan bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Selain itu, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin,” katanya.
Mengulas lanjut, lawatan itu akan dikendalikan dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kesihatan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan serta berlandaskan kepada tatacara-tatacara prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). – UTUSAN ONLINE










