PETALING JAYA: Belum ada mana-mana pemimpin UMNO mengesahkan terdapat perbincangan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia termasuk kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai perkara itu kerana secara jelas UMNO masih berpegang kepada dasar menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan (gambar) berkata, kenyataan Anwar mengenai kerjasama tersebut adalah bersifat peribadi dan tiada perbincangan lanjut bersama akar umbi.
“Macam Tok Mat (Mohamad) kata, saya pun sama tak tahu wujud sebarang perbincangan. Setakat ini tiada seorang pun pimpinan UMNO sahkan ada perbincangan kan?
“Jika Anwar masih mahu mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan UMNO, itu adalah hak beliau sepertimana hak mengatakan bahawa beliau ada majoriti di Parlimen,” katanya semalam.
Menurut Shahril Sufian, sehingga hari ini keputusan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2019 masih terpakai bahawa tidak akan timbul kerjasama dengan PKR dan DAP.
Jika sebarang pindaan ingin dilakukan, tambahnya, ia harus melalui saluran yang betul iaitu menerusi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) atau ketika perhimpunan agung nanti.
“MKT belum pernah mengubah keputusan dasar PAU 2019 yang menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.
“Ahli UMNO diingatkan untuk tidak menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman parti sendiri, disamping berusaha keras memenangi keyakinan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN










