Kementerian Pendidikan rujuk PKD pantau situasi Covid-19 - Utusan Malaysia

Kementerian Pendidikan rujuk PKD pantau situasi Covid-19

MOHD. RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan menjadikan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh negara sebagai rujukan utama dan mendapatkan nasihat dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 di sekolah-sekolah.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, setiap nasihat diberikan oleh PKD dipatuhi memandangkan ia lebih arif dalam melawan pandemik itu di tempat masing-masing.

Menurutnya, pihak kementerian optimis sesi persekolahan dapat berjalan lancar selagi semua pihak tidak mengabaikan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik.

“Bukan sahaja warga KPM dan guru, kami juga mahu golongan ibu bapa turut memainkan peranan dalam memberikan peringatan berterusan kepada anak-anak berkait pematuhan SOP,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Radzi merasmikan Majlis Pelancaran Gerakan Masa: Terima Kasih Cikgu Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-50 Bagi Tahun 2021 di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

Mengulas lanjut berkaitan kebimbangan ibu bapa terhadap penularan Covid-19 di sekolah-sekolah, Mohd. Radzi berkata, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 baru-baru ini berjalan lancar tanpa sebarang penularan Covid-19.

Keadaan itu kata beliau, membuktikan keselamatan pelajar di sekolah adalah terjamin selagi SOP berkaitan Covid-19 dipatuhi semua pihak.

“Kementerian berdepan cabaran serta tekanan yang hebat di musim Covid-19, namun kita tetap komited memastikan ekosistem pendidikan terus berjalan lancar, sekali gus memastikan tiada murid ketinggalan dalam pendidikan.

“Ia adalah proses yang memenatkan untuk kita semua yang belum biasa tetapi kita tiada pilihan, itulah keadaan, situasi dan kekangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN