Kalimah Allah: Mufti, pakar undang-undang muktamadkan resolusi - Utusan Malaysia

Kalimah Allah: Mufti, pakar undang-undang muktamadkan resolusi

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu pertemuan khas diadakan dengan para mufti seluruh negara bagi mengeluarkan satu resolusi muktamad berhubung isu penggunaan kalimah Allah berikutan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaannya oleh penganut Kristian.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pertemuan itu turut melibatkan pakar undang-undang yang berlangsung di sini, hari ini.

KDN, kerajaan Malaysia fail rayuan (Muka 6)

“Kita mahu mendapatkan kesepakatan mufti dan pakar undang-undang kerana inginkan tindakan segera secara teratur dan berprinsip.

“Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak 2008 bagi isu penggunaan kalimah Allah sudah jelas,” katanya di sini semalam.

Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 5-7 Mei 2008 adalah berbunyi:

“Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”.

Fatwa dari Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ini diikuti oleh fatwa sama dari Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri kecuali Perlis yang mengambil pendirian berbeza
Sebagai contoh, Fatwa melalui Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2008 menyebut:

1. Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

2. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan Undang-Undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga dengan Bahagian I Jadual Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Ugama Bukan Islam Kelantan 1981 yang menyenaraikan ‘Allah’ sebagai salah satu daripada 24 perkataan yang tidak boleh dikaitkan dengan agama bukan Islam.

Kelmarin, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff dilaporkan meminta Zulkifli lebih tegas berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Sedangkan, kata beliau, adalah jelas keputusan itu mempunyai kesan yang agak besar kepada negara termasuk kecenderungan Mahkamah Tinggi untuk langsung tidak membuat sebarang rujukan ke atas fatwa-fatwa di dalam membuat keputusan.

Walaupun fatwa-fatwa tidak mengikat keputusan Mahkamah Sivil, beliau berkata, ramai juga hakim yang merujuk fatwa-fatwa di dalam membuat keputusan bagi membolehkan mereka membuat keputusan tepat di dalam isu-isu membabitkan agama Islam.

Mahkamah Tinggi pada 10 Mac lalu memutuskan bahawa penganut agama Kristian di negara ini boleh menggunakan kalimah Allah dalam pembelajaran agama atau penerbitan buku agama mereka.

Selain ‘Allah’, penganut agama Kristian di negara ini juga boleh menggunakan perkataan ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘solat’ dalam penerbitan mereka.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian dalam semakan kehakiman seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland selepas mendapati notis larangan oleh Kementerian Dalam Negeri tidak sah dan terbatal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×