Kabel elektrik bawah Jambatan Pulau Pinang terbakar dibaik pulih esok - Utusan Malaysia

Kabel elektrik bawah Jambatan Pulau Pinang terbakar dibaik pulih esok

MAHDZIR Khalid menyerahkan replika cek kepada Musa Sheikh Fadzir sebagai simbolik penyerahan bantuan Program Ceria Ke Sekolah TNB di Menara JKP, Georgertown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerja membaik pulih kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang yang terbakar pada 22 Februari lalu dimulakan esok oleh kontraktor dilantik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerja-kerja membaik pulih kabel itu dijangka siap dalam tempoh 119 hari atau kira-kira empat bulan.

Beliau berkata, TNB turut bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam pelantikan kontraktor untuk menjalankan kerja membaik pulih tersebut.

“Buat masa ini, kita masih menunggu laporan penuh hasil siasatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung punca kebakaran kabel tersebut.

“Jumlah kerugian dan kos baik pulih akibat kejadian itu pula masih dalam penilaian,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis penyerahan sumbangan Program Ceria Ke Sekolah TNB di Menara JKP, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi JKP negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Program itu adalah sebahagian tanggungjawab khidmat sosial (CSR) TNB melibatkan sumbangan peralatan sekolah bernilai RM100 kepada seramai 1,400 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di negeri ini dan diserahkan menerusi ketua UMNO bahagian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang 22 Februari lalu, pengguna Jambatan Pulau Pinang dikejutkan dengan kepulan asap yang keluar dari jeriji besi jalan raya akibat kebakaran kabel elektrik di Kilometer 3.2 jambatan itu.

Kebakaran itu melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara sekali gus menyebabkan keadaan trafik sesak.

Kebakaran itu juga menyebabkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama Pasukan Tindakan Kecemasan Jambatan Pulau Pinang menggunakan bot untuk memadamkan kebakaran berikutan kabel elektrik itu terletak di bawah jambatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya