PUTRAJAYA: Jumlah pekerja warga asing yang didapati positif wabak Covid-19 setelah melalui proses saringan wajib di seluruh negara semalam terus lagi mencatatkan kenaikan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia mengesahkan 114 orang direkodkan semalam berbanding hanya 88 orang kelmarin.
“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 4,807 pekerja warga asing sudah menjalani saringan tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 603,597 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 31,466 majikan.
Daripada jumlah tersebut ujarnya, hanya 9,614 pekerja warga asing disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya pula iaitu seramai 593,983 orang lagi adalah negatif.
Sebanyak 1,520 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.
Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tersebut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelum itu.
Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.
Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.
Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.
Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memeriksa sebanyak 41 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara semalam.
“Hanya satu diarahkan untuk ditutup dan sejak 20 April tahun lalu, sejumlah 9,111 tapak binaan di negara ini diperiksa bagi kekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja,” katanya. – UTUSAN ONLINE










