Hubungi adik ipar kononnya isteri hilang - Utusan Malaysia

Hubungi adik ipar kononnya isteri hilang

KERATAN akhbar Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Suspek yang menembak mati isterinya di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor memberitahu ahli keluarga wanita itu mengenai kehilangan mangsa Isnin lalu.

Suspek yang berusia 43 tahun itu dikatakan menghubungi adik lelaki mangsa yang tinggal di Johor bagi memaklumkan kejadian tersebut.

Perkara itu dinyatakan bapa mangsa ketika diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh di rumahnya, di sini semalam.

Menurut Mamad, ahli keluarga mangsa masih terkejut dengan tragedi itu dan tidak menyangka suspek tergamak melakukan perkara tersebut kerana dia dikenali sebagai suami yang baik serta bersikap lembut.

“Menurut bapa mangsa, pada 1 Mac lalu, suspek menghubungi adik lelaki mangsa yang menetap di Johor memaklumkan isterinya hilang.

“Ahli keluarga termasuk ibu bapa mangsa menyangka tiada apa-apa yang serius sehinggalah diberitahu tentang penemuan mayat wanita berkenaan dan mereka masih terkejut,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Mangsa yang berusia 38 tahun dan merupakan ibu kepada dua anak ditembak di bahagian dada dari jarak dekat oleh suaminya dengan menggunakan senapang angin ketika sedang tidur, Isnin lalu.

Setelah membunuh mangsa, suspek dikatakan menyumbat isterinya di dalam tong plastik sebelum menanam mayat wanita berkenaan di sebuah ladang di Bandar Penawar yang terletak kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian, kira-kira pukul 4.30 pagi hari sama.
Sementara itu, Mamad berkata, ahli keluarga berharap agar jenazah mangsa dapat dikebumikan di kampung halaman di sini.

“Ibu mangsa masih bersedih dan saya cuma sempat berbual dengan bapanya selepas melawat keluarga berkenaan kira-kira 20 minit, selepas solat Jumaat semalam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya