Geng Raj tumpas, tujuh kes pecah tabung selesai - Utusan Malaysia

Geng Raj tumpas, tujuh kes pecah tabung selesai

POLIS Melaka sedang mengesan Noor Rahman Abd. Rahim yang dipercayai boleh membantu siasatan kes pecah tabung melibatkan rumah ibadat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sekurang-kurangnya tujuh kes pecah tabung melibatkan rumah ibadat di negeri ini diselesaikan polis selepas tertangkapnya dua lelaki dikenali sebagai Geng Raj.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, suspek yang masing-masing berusia 22 tahun dan 24 tahun itu ditahan di dua lokasi iaitu di Taman Lipat Kajang Perdana, Bukit Serindit dan Tehel, dekat sini.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan berkenaan adalah dengan memecah masuk masjid, surau atau tokong pada waktu malam dan mengumpil atau membakar mangga tabung sumbangan bagi mendapatkan wang tunai.

“Susulan tangkapan tersebut, rampasan dibuat ke atas sebuah kereta dan sebuah motosikal, serta pelbagai jenis peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah memecahkan tabung di rumah-rumah ibadat sekitar Melaka.

“Dengan penangkapan ini, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka menyelesaikan sekurang-kurangnya tujuh kes pecah tabung yang berlaku antara Disember 2020 hingga Febuari 2021,” katanya di sini hari ini.

Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 380 kanun Keseksaan yang boleh dihukum sehingga 10 tahun penjara dan denda.

Dalam pada itu, Mohd. Sukri berkata, polis sedang mengesan seorang lagi individu yang dipercayai boleh membantu siasatan iaitu Noor Rahman Abd. Rahim yang bernombor kad pengenalan, 870723-10-5551.

Ujarnya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd. Hanafi Md. Zam di talian 019-3646812.

“Polis Melaka memandang serius ke atas sebarang aktiviti jenayah dan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah-pesalah tersebut.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sentiasa menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras jenayah daripada berlaku,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya