Felda, FGV perlu bekerjasama cari penyelesaian terbaik - Utusan Malaysia

Felda, FGV perlu bekerjasama cari penyelesaian terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan pengambilalihan FGV Holdings Berhad oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bukanlah pengakhiran kepada usaha pemulihan lembaga itu.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abdul Rahim Abdul Samad berkata, beliau percaya kerajaan mempunyai jalan untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Kata beliau, FGV pasti memberikan kerjasama yang sewajarnya dan bersifat terbuka dalam menjayakan pelan pemulihan Felda.

“Kita perlu ingat kembali sejarah penubuhan FGV yang dahulunya dikenali sebagai Felda Global Ventures. Kerajaan pada ketika itu menubuhkan FGV bersama dengan Felda yang pada mulanya dikendalikan sebagai cabang perdagangan Felda.

“Pada pandangan saya, apa yang harus dilakukan selepas ini ialah kerjasama antara Felda dengan FGV dalam mencari penyelesaian terbaik bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan peneroka serta pekebun kecil, di samping terus memastikan pembayaran dividen kepada semua pemegang saham terjamin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kegagalan Felda mengambil alih baki saham dalam FGV selepas tempoh tawaran am mandatori tamat Isnin lalu.

Felda berjaya menguasai 81 peratus saham FGV sementara kerajaan Pahang dan Sabah melalui anak syarikatnya Sawit Kinabalu masing-masing me­nguasai lima dan empat peratus.

Felda memerlukan seku­rang-kurangnya 90 peratus saham FGV untuk membolehkan syarikat perladangan itu di­nyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim tidak menafikan kegagalan Felda mengganggu pelan pemulihannya, namun tidak melihat ia sebagai pengakhiran.

Kata beliau, Felda sudah memiliki 81 peratus pegangan saham FGV walaupun tidak mencapai 90 peratus yang diperlukan.

“Dari satu sudut lain, pelan pemulihan yang diluluskan kerajaan iaitu mengeluarkan sukuk dijamin kerajaan bernilai RM9.9 bilion dilihat akan memberi manfaat dalam mengurangkan beban hutang Felda jika sukuk tersebut benar-benar dikeluarkan pada akhir bulan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN