Fahmi yakin akar umbi terima kerjasama PKR, UMNO - Utusan Malaysia

Fahmi yakin akar umbi terima kerjasama PKR, UMNO

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbincangan kerjasama antara PKR dengan UMNO belum dibincang di pe­ringkat Pakatan Harapan (PH) namun kerjasama itu diyakini akan diterima akar umbi.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, akar umbi setiap parti harus menilai musuh yang boleh bekerjasama demi kebaikan negara berban­ding pengkhianat yang hanya meletakkan pimpinan politik ke dalam ‘liang lahad politik’

“Kerjasama PKR UMNO mungkin masih awal, ada beberapa yang kita lihat sama berlaku kepada UMNO. Dulu 15 pemimpin UMNO dicuri, dan angka yang sama berlaku kepada PKR. Kedua-dua parti ini yang mencuri ahli Parlimen kami, bukan parti lain…Bersatu. Jadi buat apa PKR nak kerjasama dengan Bersatu?

“Waktu ini masih awal untuk lihat tapi saya percaya di peringkat akar umbi jelas menghadapi masalah kerjasama dengan Bersatu, saya tahu ia akan menimbulkan beberapa ketegangan tapi terpulang, sama ada landasan dan falsafah adalah sama, jika ada ruang apa tidaknya untuk kita manfaatkan,” dalam program Sembang Politik bertajuk ‘Adakah PH mampu terajui semula selepas PRU-15’ anjuran MMTV yang di­siarkan secara langsung di laman sosial Facebook dan Kosmo! Online, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan UMNO.

Menurut Anwar, perbinca­ngan sudah dibuat namun bukan secara rasmi setakat ini.

Ditanya adakah PKR tidak mempunyai masalah dengan Pas yang masih terikat dengan UMNO dalam gabungan Muafakat Nasional (MN), Fahmi berkata ia harus diselesaikan dahulu.

“Kita perlu reformasi sistem dalaman parti supaya dapat selesaikan perkara itu. Kalau boleh diselesaikan, selesaikan ikatan itu dahulu dan kita lihat bagaimana,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu konsisten untuk menolak kerjasama dengan kleptokrat, sementara Parti Amanah Negara (Amanah) turut menyatakan pendirian yang sama bahawa parti itu akan terus menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri jika beliau tetap pada survival perjuangan asal.

Dalam masa yang sama, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, perbincangan Anwar dengan UMNO adalah pandangan peribadi dan ia belum dibincangkan dalam majlis Pakatan Harapan (PH). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN