Diskaun kompaun ingkar SOP sehingga 50 peratus - Utusan Malaysia

Diskaun kompaun ingkar SOP sehingga 50 peratus

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mereka yang dikompaun maksimum RM10,000 gara-gara ingkar prosedur operasi standard (SOP) akan diberi tawaran diskaun 50 peratus jika dibayar dalam masa seminggu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia berdasarkan Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Mesyuarat Kabinet hari ini (semalam) meluluskan tawaran pengurangan kompaun tersebut yang melibatkan pindaan Seksyen 25 akta itu termasuk tawaran diskaun.

“Jika lebih seminggu hingga 14 hari, pesalah menikmati pe­ngurangan cuma 25 peratus dan kalau lebih dua minggu, maka kena bayar kompaun mengikut kadar sepenuhnya,” kata beliau dalam sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba di sini semalam.

Namun, kata beliau, bagi meringankan beban golongan B40 yang dikompaun, golo­ngan itu boleh merayu dengan melampirkan dokumen soko­ngan.

“Ini termasuk orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik, pengemis dan pelajar dengan rayuan boleh dikemukakan kepada pegawai kesihatan yang diberi kuasa di setiap negeri atau daerah,” katanya.

Beliau memaklumkan, terdapat tiga kategori kesalahan de­ngan kadar kompaun yang berbeza seperti kompaun RM1,500 bagi individu kali pertama yang gagal memakai pelitup atau diimbas MySejahtera.

Ditanya kaedah pelaksanaan, beliau memaklumkan, pasukan khusus yang disertai polis, tentera, rela, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diwujudkan dan mereka akan pakai lilitan khas di lengan ketika melakukan rondaan.

Sementara itu, Adham mengesahkan belum ada sesiapa yang membayar kompaun maksimum RM10,000 di pejabat kesihatan daerah (PKD), berkemungkinan mereka me­nunggu jika ada pengumuman mengenai isu tersebut.

“Kita tidak akan tolak jika sesiapa hadir (ke PKD) untuk membuat rayuan dan pengurangan akan diberikan mengikut apa yang sudah diputuskan oleh kerajaan,” katanya.

Menyentuh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa pertama dengan peringkat dos kedua bermula semalam, beliau berkata, kerajaan akan mengeluarkan kad khas untuk penerima.

Kad unik itu tidak boleh ditiru kerana dilengkapi teknologi kod QR tersendiri dan akan diberi kepada individu yang sudah menerima suntikan kedua vaksin sebagai bukti pengesahan.

Seramai 346,508 orang telah menerima dos pertama vaksin setakat 12 tengah malam semalam atau 69.3 peratus daripada sasaran 500,000 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN