PETALING JAYA: Empat lagi ahli Parlimen PKR didakwa menerima ‘pelawaan’ supaya memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Mereka ialah ahli Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini dan ahli Parlimen Miri, Michael Teo Yu Leong.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masih terdapat usaha mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli parlimen parti itu dan mendakwa ada dalam kalangan mereka yang menerima ugutan supaya berbuat demikian.
“Walaupun setelah cuba untuk membeli tiga atau empat ahli parlimen parti kami, mereka masih lagi tidak mempunyai majoriti. Ada beberapa ahli parlimen lain yang dipelawa tetapi yang telah membuat laporan rasmi termasuk ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail. Beliau seorang wanita yang hebat dan berani.
“Walaupun dalam kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) itu seperti berbolak balik mengulang nilai RM10 juta sedangkan beliau tidak pernah menyebut mengenai RM10 juta. Namun diulang-ulang nilai itu,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dan ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien, diikuti dengan bekas Naib PKR, Xavier Jayakumar mengumumkan keluar daripada parti itu.
Sementara itu, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson mengumumkan tiada lagi wakil rakyat PKR akan keluar daripada parti itu bagi menyertai PN.
Katanya, perkara itu telah dibincangkan dan mendapat keputusan sebulat suara daripada 36 wakil rakyat PKR, sekali gus menafikan spekulasi yang mengatakan lebih ramai akan lompat parti.
“Saya sukacita kerana mereka ini kekal dengan idealisme perjuangan, agenda reformasi dan tekad untuk membawa perubahan kepada negara.Kita tidak berganjak dengan pendirian bahawa kita kini berdepan sistem bobrok apabila menularnya rasuah dan keangkuhan kuasa,” katanya.
Beliau turut mempersoal jumlah kerusi yang dimiliki kerajaan PN ketika ini selepas banyak ‘mengunci mulut’ daripada menjawab persoalan-persoalan berkaitan keputusan menggantung persidangan parlimen.
“Mengapa kerap bertanyakan majoriti saya tetapi tidak persoalkan berapa jumlah kerusi yang kerajaan PN ada? Mengapa kerajaan PN terus memerintah tetapi tidak mahu mengadakan sidang parlimen dan mengapa sekolah boleh dibuka namun parlimen tidak dibenarkan bersidang?
“Kerajaan PN tidak pernah menjawab sekalipun mengenai 115 ahli parlimen yang telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menolak keputusan menggantung parlimen. Sekiranya mereka telah hilang keabsahan untuk bentuk kerajaan, sepatutnya mereka menerima proses demokrasi ini. Jangan berselindung di belakang badan-badan berkuasa dalam negara,” katanya. – UTUSAN










