PETALING JAYA: Tiada alasan Parlimen tidak boleh bersidang pada Jun ini kerana vaksin telah sampai manakala ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pula disenaraikan sebagai penerima fasa pertama program imunisasi yang bermula hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan harus mempercepatkan pemberian vaksin kepada kesemua ahli Parlimen kerana persidangan Parlimen tidak boleh ditangguhkan lagi.
“Salah satu fungsi Parlimen adalah menyediakan ruang untuk membuat semak dan imbang terhadap perjalanan kerajaan. Tetapi saya melihat rakyat Malaysia mentertawakan kerajaan kerana bila disebut taska dan tadika boleh dibuka, tetapi Parlimen tidak boleh bersidang.
“Keengganan memanggil sidang Parlimen hanyalah mengukuhkan persepsi umum yang dikatakan sebagai `pemandulan Parlimen’, ia suatu perkara yang memalukan, jadi persidangan berikutnya pada bulan Jun tidak boleh ditangguhkan kerana perbincangan dan perbahasan mengenai isu-isu rakyat perlu diteruskan, ” katanya.
Semua sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos berikutan pengisytiharan darurat oleh kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan tidak boleh terus mengunci mulut ahli Parlimen untuk membahaskan isu-isu berkaitan rakyat.
“Kita mendesak supaya semua ahli Parlimen diberi vaksin supaya mereka boleh bersidang kembali, maka tiada alasan lagi untuk tidak boleh bersidang selepas itu,” katanya.
Dalam pada itu Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Harun berkata , isu sama ada Parlimen boleh bersidang atau sebaliknya, perlu mengikut kepada Proklamasi Darurat
“Kalau Ordinan Darurat mengatakan bahawa Parlimen boleh bersidang semula seperti mana yang dititahkan baginda (Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong), maka kita bolehlah bersidang, ini bukan pasal vaksin semata-mata,” ujarnya. – UTUSAN










