Tetapkan harga ujian saringan Covid-19: MKN akan putuskan, hospital swasta tidak setuju - Utusan Malaysia

Tetapkan harga ujian saringan Covid-19: MKN akan putuskan, hospital swasta tidak setuju

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi menetapkan harga ujian saringan Covid-19 di hospital swasta dalam mengurangkan kes jangkitan pandemik itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, penetapan harga akan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bakal diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat.

Katanya, keputusan harga itu dibuat berdasarkan perintah dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk mengenakan apa-apa caj atau fi di bawah subseksyen 2.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Harga bagi rawatan Reverse Transcripte-PolymeraseChain Reaction (RT-PCR) di pusat rawatan kerajaan pada masa ini adalah RM150 manakala bagi ujian Rapid Test Kit (RTK) adalah RM60.

“Bagaimanapun harga di hospital swasta agak tinggi sedikit.Jadi kerajaan akan putuskan berapa harga yang boleh ditetapkan oleh hospital swasta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagi bukan warganegara, harga ujian PCR adalah RM250 manakala RTK adalah RM120 di pusat rawatan milik kerajaan.

Harga bagi perkhidmatan ujian saringan PCR di hospital swasta antara RM300 sehingga RM400 dan ujian RTK berharga RM150.

Sementara itu, Dr. Adham berkata, kerajaan belum memutuskan sama ada untuk mengenakan caj vaksin atau tidak kepada rakyat bukan warganegara.

Mengulas perkara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, adalah tidak wajar untuk membuat ketetapan harga bagi pelaksanaan ujian saringan berkenaan di hospital swasta.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya meletakkan anggaran harga yang boleh dikenakan hospital swasta untuk mengurangkan kos operasi dan bebanan mereka.

Katanya, pilihan terletak di tangan ‘pelanggan’ hospital swasta untuk menerima perkhidmatan terbaik dan mengikut kemampuan mereka.

“Kerajaan mungkin boleh beri garis panduan, sebagai contoh hospital boleh kenakan antara RM300 sehingga RM360 untuk RT-PCR.

“Ini adalah kerana kerajaan tidak tahu berapa jumlah kos sebenar operasi hospital swasta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof. Datuk Dr. M. Subramaniam pula berkata, kerajaan perlu mengambil kira semua pertimbangan termasuk kos makmal, sewa bangunan dan gaji kakitangan perubatan sebelum menetapkan harga perkhidmatan ujian saringan.

“Kerajaan tidak boleh tetapkan harga sesuka hati. Semua aspek perlu diambil kira kerana hospital swasta ada tanggungan. Sebaik-baiknya keputusan perlu memberi kepuasan kepada pelbagai pihak,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini