Tabika, Taska Genius Perpaduan akan diberi penjenamaan baharu

Tabika, Taska Genius Perpaduan akan diberi penjenamaan baharu

HALIMAH MOHAMED SADIQUE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara akan memberi penjenamaan baharu kepada Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Perpaduan dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Genius Perpaduan yang pelannya akan dilancarkan 8 Mac depan.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ia melibatkan peningkatan tahap profesionalisme guru dengan memastikan semua guru mempunyai kelayakan akademik yang bersesuaian iaitu sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak atau setaraf.

Beliau berkata, ia turut melibatkan pemantapan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta peningkatan identiti dan imej Tabika dan Taska dengan memperkenalkan logo baharu, starter kit dan keseragaman bangunan.

“Menerusi aspek pemantapan kualiti pengajaran dan pembelajaran, empat aspek akan diberi tumpuan iaitu penyediaan buku aktiviti bagi setiap subjek dengan elemen perpaduan dan kenegaraan selain pengenalan asas bahasa lain seperti bahasa Mandarin dan Tamil.

“Di samping itu ialah pelaksanaan aktiviti jom urus diri kanak-kanak Tabika Perpaduan dalam membentuk disiplin dan sahsiah mulia serta memperkenalkan modul berbentuk permainan untuk kanak-kanak bagi membina kreativiti,” katanya pada Majlis Amanat 2021 Menteri Perpaduan Negara bersama warga KPN di Facebook KPN hari ini.

Halimah berkata, pihaknya juga sedang dalam memuktamadkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 bagi melengkapkan Dasar Perpaduan Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Beliau berkata, proses dan gerak kerja pelaksanaan pelan tindakan ini akan melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan di semua peringkat dari pusat hingga ke akar umbi.

“Saya sendiri akan mempengerusikan satu jawatankuasa pelaksanaan bagi memastikan kesemua dokumen ini dilaksanakan dengan berkesan dan impaknya dapat dirasai oleh seluruh rakyat sebelum laporannya dibentangkan kepada jemaah menteri secara berkala,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya