RM800 juta demi nyawa rakyat - Utusan Malaysia

RM800 juta demi nyawa rakyat

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sehingga RM800 juta bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan selepas mula menerima vaksin Pfizer-BioNTech mulai kelmarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, peruntukan tambahan kepada Kementerian Kesihatan tersebut antaranya bagi keperluan seperti mobilisasi petugas, keperluan penggunaan peralatan pelindungan diri (PPE), reagen, kit saringan, cecair pembasmi kuman, bahan guna habis (consumable), alatan simpanan dan agihan vaksin serta lain-lain kos.

“Kos tambahan itu juga bagi membuka pusat pemberian vaksin (PPV) di 600 tempat di seluruh negara dalam tiga fasa program imunisasi yang dijadual berakhir Februari tahun depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kos tambahan dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi melindungi nyawa rakyat adalah seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pakej bantuan Pelindungan Ekonomi Rakyat Malaysia (Permai) baru-baru ini,” kata beliau di sini semalam

Menurut beliau, sebelum itu, kerajaan telah melakukan rundingan demi rundingan untuk mendapatkan bekalan vaksin tersebut yang bukan mudah selain membabitkan harga sehingga RM3 bilion.

Justeru, Dr.Adham berkata, seluruh rakyat harus menyokong dan mendaftar untuk menyertai program imunisasi yang bakal dibuka bulan depan bagi memulihkan ancaman wabak.

“Program ini perlu berjaya supaya ekonomi dan kehidupan rakyat boleh pulih semula. Ini adalah komitmen kerajaan yang berbelanja besar demi keselamatan rakyat,” katanya.

Kelmarin bekalan pertama 312,390 dos vaksin dari Belgium tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang manakala bagi fasa kedua dijadualkan sampai pada Jumaat ini.

Selain itu, Dr. Adham memberitahu, kerajaan juga memperuntukkan RM100 juta lagi untuk merealisasikan kerjasama dengan hospital swasta yang boleh menerima dan merawat pesakit Covid-19 selepas ini.

Katanya, ia bertujuan mengurangkan kesesakan bilangan pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di hospital awam.

“Kerajaan meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan paling tinggi dan mempunyai sumber yang mencukupi untuk memastikan sistem kesihatan awam akan terus berkhidmat kepada rakyat bagi memerangi Covid-19.

“Kementerian Kesihatan menyeru supaya kita bersama-sama memerangi penularan Covid-19 secara bersepadu,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, pihak MAB kargo sdn. Bhd., MASkargo menanggung penerbangan bagi membawa vaksin tersebut.

“Perkara tersebut dimaklumkan oleh pihak pengurusan MASkargo kepada saya. Saya mewakili kerajaan mengucapkan penghargaan kepada MASkargo dan semua kakitangan terlibat,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×