Ramai sokong Agong perkenan Parlimen bersidang - Utusan Malaysia

Ramai sokong Agong perkenan Parlimen bersidang

AL SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara tersebut termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Oleh itu, menurut beliau, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen bersidang tidak tepat.

“Perlu ditegaskan bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 yang meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,” menurut Ahmad Fadil dalam kenyataan semalam.

Beliau turut memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara semalam.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah kemudian menzahirkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi kerajaan lain atas usaha merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula semalam dan dijadual berakhir tahun depan.

Susulan titah tersebut, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan berharap Perdana Menteri menjunjung titah dan menasihati Yang di-Pertuan Agong agar mengadakan sidang Parlimen seawal bulan Mac mengikut takwim sebelum ini.

Katanya, langkah tersebut selari bagi memulihkan kedudukan Parlimen mengikut Perlembagaan Persekutuan selain mengetengahkan isu-isu serta masalah sedang dihadapi rakyat.

“Majlis Presiden menjunjung kasih atas pandangan dizahirkan Agong bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat,’’ kata kenyataan itu.

Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub juga berharap Muhyiddin mempertimbang suara rakyat dan mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong sebagai keutamaan menasihati Baginda untuk kembali bersidang.

Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan berkata, isu rakyat perlu diteruskan dalam persidangan kali ini dan menjadikan ia sebagai keutamaan khususnya ketika kita masih lagi menghadapi pandemik Covid-19.
Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat sememangnya perkara yang dibolehkan dan tidak dilarang undang-undang.

“Ya memang boleh bersidang (semasa tempoh darurat), perkara itu tidak dilarang undang-undang. Saya okey saja apabila diumumkan Parlimen boleh bersidang kerana sebelum ini pun memang saya pernah kata ia boleh dilaksanakan. Saya dah kata ia boleh,” kata beliau yang juga pakar perlembagaan ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Abdul Aziz, Parlimen bersidang ketika tempoh darurat pernah berlaku semasa peralihan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri pada September 1970.

“Mungkin ramai yang lupa peralihan kuasa daripada Tunku kepada Tun Razak berlaku pada September 1970. Parlimen bersidang pada 1971, darurat diisytihar pada Mei 1969,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×