“…tidak boleh dinafikan juga wang suapan dalam kes ini ditempatkan dalam beg kurier plastik yang diletakkan dalam beg kertas, dan dalam satu transaksi, dalam beg hitam.”
“Pembelaan mengenai pengakuan yang dikatakan dibuat oleh SP21 (Muhammad Zahid) kepada SB4 (Mohamad Jani Ismail) dan SB5 (Dahalan Tunggal) adalah suatu pemikiran kemudian atau afterthought dan sebenarnya satu cerita yang dibuat-buat, yang juga merupakan satu rekaan yang lemah.”
“Dalam keterangannya tertuduh mengulangi dakwaan SP21 mempunyai motif untuk sengaja membabitkan atau “implicate” tertuduh dengan kesalahan menerima suapan. Di akhir kes pendakwaan Mahkamah telah membuat dapatan bahawa tiada sebab mahupun keterangan yang menyokong naratif ini.”
“Tertuduh mengatakan SP21 tidak berprinsip dalam politik kerana sering melompat parti. Tertuduh berkata beliau telah memecat SP21 daripada memegang jawatan pegawai khas politik selepas SP21 lantang mengkritik Kerajaan ketika itu dan membuat pula kenyataan menyokong Pakatan Harapan. Walau bagaimanapun, Mahkamah dapati adalah penting untuk dititikberatkan bahawa penamatan kontrak SP21 diakui oleh tertuduh tiada kaitan dengan pembelian MPHS.”
“Tiada soalan diajukan kepada SP21 bahawa SP21 tertekan disebabkan keadaan beliau teruk dan tidak tahan ketika direman di bangunan lama SPRM yang dikatakan berhantu.”
“Tertuduh sendiri pun setuju ketika disoal balas (menyatakan) bahawa tidak munasabah SP21 membawa wang untuk diserahkan ketika ada kakitangan berhampiran pejabat tertuduh.”
“Tiada bukti SP21 berkomplot dengan individu lain seperti SP15, SP16 dan SP17 untuk berkongsi wang suapan tersebut dan menipu dan melakukan penganiyaan kepada tertuduh seperti yang sekali lagi dibangkitkan pihak pembelaan.”
“Mahkamah mendapati naratif yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan bahawa wang suapan sebenarnya dikeluarkan atas rancangan konspirasi Muhammad Zahid, Ikhwan dan beberapa individu lain atas dasar keperluan untuk ‘political funds’ yang sebenarnya diseleweng oleh mereka yang berkomplot berkongsi habuan wang komisen hasil daripada penjualan MPHS dan menjadikan tertuduh sebagai mangsa adalah langsung tidak bermerit.”
“Pembelaan tertuduh bersifat pemikiran terkemudian, tidak konsisten dan hanyalah penafian tanpa sokongan yang berasas atau yang boleh dipercayai.” – UTRUSAN ONLINE










