GEORGETOWN: Ahli Parlimen diingatkan tidak terlalu teruja dengan usul undi percaya atau tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan kemungkinan Parlimen akan bersidang dalam masa terdekat.
Pemerhati politik dan sosiologi, Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, kebenaran untuk Parlimen bersidang itu tidak sepatutnya ditumpukan dengan perkara yang boleh menjejaskan kestabilan politik, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada perbahasan masalah rakyat.
Apatah lagi ujar pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkenaan, darurat yang diisytihar sebelum ini juga bertujuan memberi tumpuan kepada pandemik Covid-19, justeru sidang Parlimen dalam tempoh darurat tersebut sepatutnya memberi tumpuan kepada perkara sama.
“Dalam Ordinan Darurat 2021 ada disebut Parlimen boleh dipanggil atau atau dibubar oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Darurat juga diisytihar sebagai langkah berhadapan pandemik Covid-19, ini bermakna sidang Parlimen boleh memberi tumpuan perbincangan berhubung isu malapetaka nasional dan memainkan peranan suntikan ke atas apa yang boleh dilakukan demi rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini menzahirkan pandangan yang mana Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.
Berikutan penzahiran itu, pelbagai pihak membuat spekulasi berhubung kedudukan Perdana Menteri dengan kemungkinan terdapat Ahli Parlimen akan mengambil peluang mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Ditanya mengenai kemungkinan usul itu, Sivamurugan berkata, perkara tersebut bergantung kepada Speaker Dewan Rakyat dan beranggapan usul-usul kerajaan lebih mendominasi berbanding usul undi berkenaan.

Sementara itu, pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pandangan Seri Paduka itu menjelaskan hasrat sebenar pelaksanaan darurat untuk menangani penularan wabak Covid-19 bukan demi kepentingan politik kepartian mana-mana pihak.
Katanya, Seri Paduka berunding dengan banyak pihak berwibawa sebelum berkenan melaksanakan darurat, malah perkara tersebut dapat dilihat apabila Yang di-Pertuan Agong pernah menolak pemintaan jemaah menteri bagi melaksanakan darurat sebelum ini. – UTUSAN ONLINE










