TUMPAT: Nasi berlauk dari Kampung Air Dingin, di sini yang cukup popular sehingga turut ‘dieksport’ ke ibu negara setiap pagi dengan menaiki kapal terbang, terus laris dan menjadi pilihan orang ramai termasuk ketika musim pandemik Covid-19.
Malah, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hidangan nasi bungkus ringkas yang turut digelar ‘Nasi Air Dingin’ itu dikatakan masih rancak merentas negeri untuk dinikmati para penggemar di luar Kelantan setiap hari.
Perkara itu diakui salah satu pengusaha nasi Air Dingin tersohor iaitu Nasi Berlauk Kak Chik.
Pengurusnya, Abdul Aziz Mat Salleh, 43, berkata, selain Kuala Lumpur, Nasi Berlauk Kak Chik turut dijual di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Katanya, nasi itu bagaimanapun tidak lagi dihantar menggunakan pengangkutan udara, sebaliknya peniaga dari luar Kelantan mengambil sendiri bekalan setiap hari dengan van masing-masing.
“Untuk pasaran di luar Kelantan, peniaga datang mengambil nasi berlauk kami seawal pukul 12 tengah malam. Ketika musim PKP ini, kami memastikan mereka mematuhi SOP termasuk peraturan rentas negeri yang ditetapkan.
“Nasi Berlauk Kak Chik tidak mudah basi dan mampu bertahan 24 jam kerana lauk dan kuahnya kita asingkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kedai Nasi Berlauk Kak Chik, di sini baru-baru ini.
Menurut Abdul Aziz, bagi pasaran Lembah Klang, pihaknya membekalkan antara 2,000 hingga 3,000 bungkus nasi setiap hari dan dalam tempoh PKP kali ini, permintaan berkurangan sekitar 30 peratus.
Tambahnya, walaupun jualan sedikit menurun akibat ancaman Covid-19 di seluruh negara, pihak pengurusan mengekalkan jumlah pekerja yang ada, iaitu seramai 70 orang demi menjaga kebajikan mereka.
Daripada jumlah itu, seramai 50 pekerja ditugaskan secara bergilir-gilir membungkus nasi untuk jualan pada sebelah siang dan malam.
“Harga nasi berlauk kami tidak dinaikkan walaupun berdepan dengan kenaikan kos. Untuk peniaga, kami kenakan harga RM2.60 sebungkus kecuali nasi dagang daging kerutuk, harganya RM3.10,” katanya.
Abdul Aziz sebelum ini pernah merantau dan mencari rezeki di Melaka, namun dipanggil pulang ibunya, Che Halimah Che Ahmad, 64, atau Kak Chik untuk menguruskan perniagaan keluarga mereka yang berkembang maju sejak 2015. – UTUSAN










