Lelaki buat khianat bakar khemah kedai - Utusan Malaysia

Lelaki buat khianat bakar khemah kedai

KHEMAH di hadapan sebuah kedai di Jalan Mahajaya, Port Dickson terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian pada 8 Februari lalu. - Gambar ihsan polis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang lelaki ditahan polis selepas didapati melakukan khianat dengan api iaitu membakar khemah berisi barang kelengkapan sekolah di hadapan sebuah kedai di Jalan Mahajaya di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 48 tahun itu dilakukan susulan laporan daripada mangsa yang juga seorang peniaga berusia 41 tahun yang memaklumkan kejadian tersebut.

“Berdasarkan laporan yang diterima, peniaga itu memberitahu telah berlaku kebakaran di khemah di hadapan kedainya pada pukul 4 pagi dan ketika itu mangsa berada dalam kedai.

“Barang-barang yang berada di dalam khemah tersebut adalah baju sekolah, beg sekolah dan juga basikal yang diletakkan dalam khemah telah terbakar dengan anggaran kerugian lebih RM40,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Aidi Sham, susulan laporan tersebut sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson bersama anggota Cawangan Cegah Jenayah (CPJ) Balai Port Dickson telah membuat tangkapan ke atas suspek.

“Bertindak atas maklumat, suspek berusia 48 tahun itu berjaya ditahan polis di tepi jalan berhampiran sebuah restoran di pekan Port Dickson pada pukul 8.30 malam, hari yang sama.

“Siasatan mendapati suspek yang beralamat di Kampung Arab, Port Dickson mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan perbuatan khianat dan khianat dengan api selain satu rekod mendatang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pendakwa Raya Negeri Sembilan dan telah menerima arahan lanjut untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan api.

Saspek akan dituduh di Mahkamah Seksyen Seremban, esok.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya