KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan untuk tidak berasa bimbang sekiranya berlaku alahan teruk sebelum dan selepas pengambilan vaksin Covid-19.
Bahkan, lebih ramai dalam kalangan masyarakat mempunyai alahan kritikal kerana makan makanan laut seperti udang, ketam dan sotong berbanding alahan menggunakan vaksin Covid-19.
Pakar perubatan kesihatan awam dari Jabatan Perubatan Tentera Hospital Tuanku Mizan, Kolonel Dr. Mohd. Arshil Moideen berkata, tiada alasan untuk orang ramai meragui vaksin Covid-19 kerana keberkesanannya sudah terbukti melalui pendekatan sama diambil oleh beberapa negara di seluruh dunia sehingga berjaya memvaksinkan hampir seluruh populasi penduduk.
Kata Arshil, memang terdapat kesan sampingan atau alahan selepas suntikan vaksin Covid-19 bagaimanapun, hanya sejumlah kecil bersamaan 4.5 peratus kes dalam sejuta yang mengalami alahan serius.
“Kalaulah ini disebabkan konspirasi Yahudi, Israel sendiri sudah memvaksinkan 75 peratus populasi rakyatnya. Makan Panadol dan ubat-ubat lain pun peratusan untuk menerima alahan adalah lebih tinggi. Makan udang pun lagi ramai yang alergik.
“Jadi, terimalah fakta bahawa vaksin adalah pilihan terbaik yang kita ada sekarang. Saya menyeru agar semua pihak menyokong pengambilan vaksin.
“Usah terhasut dengan berita-berita palsu mengatakan ada yang mati disebabkan vaksin kerana ia boleh disebabkan penyakit sampingan lain. Lagipun, akan ada post-mortem yang dijalankan sebelum membuat kesimpulan daripada sesuatu kematian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam menjadi detik paling bersejarah negara apabila pesawat khas MH604 yang membawa 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Vaksin berkenaan akan merancakkan momentum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula pada 26 Februari ini yang dibahagikan kepada tiga fasa sehingga berakhir pada Februari tahun depan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.
Untuk rekod, dua vaksin Covid-19 iaitu Pfizer-BioNTech dan Moderna Inc yang diluluskan untuk digunakan di Amerika Syarikat (AS) mempunyai tahap keselamatan yang meyakinkan.
Ini selepas pemberian 13.8 juta dos vaksin itu kepada penduduk AS kebanyakan laporan daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) menunjukkan kesan sampingan tidak serius malah tiada kes kematian dilaporkan.
Ditanya berkenaan dakwaan segelintir pihak yang menolak vaksin disebabkan vaksin mengubah asid deoksiribonukleik (DNA) seseorang, Arshil menafikan berlaku fenomena seperti itu.
“Kalau benarlah suntikan vaksin boleh mengubah struktur DNA seseorang, sudah lama seluruh dunia dapat merawat kanser melalui suntikan yang mampu mengubah semula mutasi pada DNA yang menyebabkan kanser terjadi.
“Kita cucuk sahaja dan semua masalah selesai. Hakikatnya, kita tiada lagi kaedah seperti itu yang boleh mengubah DNA manusia hanya dengan suntikan ,” katanya. -UTUSAN










