SEPANG: Kerajaan memberi jaminan bahawa tahap keberkesanan vaksin keluaran syarikat dari China, Sinovac Life Sciences Co. Ltd. (Sinovac) adalah tinggi malahan disahkan selamat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, vaksin itu yang juga dikenali sebagai CoronaVac turut digunakan dengan meluas di pelbagai negara dan terbukti berkesan.
“Walaupun kajian klinikal di Brazil bulan lalu menunjukkan cuma efektif 50.4 peratus bagi jangkitan bergejala, ini masih lebih piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Sinovac di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan penerimaan vaksin itu antara sebahagian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada Rabu lalu.
Mengulas lebih lanjut, Khairy yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, beliau sedar ramai mungkin mempersoalkan keberkesanan vaksin China itu kononnya sebagai berkualiti rendah.
“Mereka barang kali tidak merujuk fakta lengkap kerana data di Brazil itu juga menunjukkan vaksin ini berkesan 78 peratus untuk kes sederhana dan 100 peratus bagi kes teruk,” katanya.
Sementara di Turki ujar beliau, vaksin itu terbukti efektif lebih 91 peratus dan Indonesia pula 65 peratus sebelum diagihkan di negara terbabit selain juga Hong Kong, Chile dan Kemboja.
Justeru, rakyat negara ini diminta tidak perlu bimbang kerana semua vaksin dari luar negara untuk dipasarkan di Malaysia perlu melalui proses tapisan amat ketat sebelum diluluskan.
“Lebih 36 juta dos Sinovac telah diedar di seluruh dunia oleh syarikat ternama ini yang juga mengeluarkan pelbagai vaksin untuk penyakit lain sejak ditubuhkan pada 1999,” kata Khairy.
Akhir bulan lalu, Sinovac memeterai perjanjian penghantaran 14 juta dos vaksin itu untuk dibotolkan semula Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. di kilangnya di Puchong, Selangor.
PICK turut menyediakan secara berperingkat vaksin Sputnik V keluaran firma Gamaleya di Rusia, AstraZeneca dihasilkan Oxford dari Britain dan Pfizer-Biontech dari Amerika Syarikat.
Rakyat Malaysia juga akan disuntik vaksin Covid-19 keluaran CanSino Biologics dari China selain inisiatif antarabangsa Covac yang merupakan kerjasama 165 negara di bawah WHO. – UTUSAN ONLINE