Laporan Covid-19: Selangor kaji kaedah seragam perkara teknikal - Utusan Malaysia

Laporan Covid-19: Selangor kaji kaedah seragam perkara teknikal

ORANG ramai yang hadir ke CAC di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor yang mula beroperasi hari ini. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri sedang mengkaji satu kaedah untuk menyeragamkan beberapa perkara teknikal dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam mengkoordinasikan laporan Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan secara berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, satu perbincangan diadakan petang ini dalam mesyuarat penyelarasan berhubung beberapa perkara yang kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan telah dipersetujui.

Setakat ini, katanya, tiada kompaun dikeluarkan kepada klinik dan hospital swasta yang lambat melaporkan kes positif Covid-19 kepada JKNS.

“Kita masih menggunakan pendekatan secara libat urus kepada dua pusat kesihatan swasta ini. Namun, saya telah minta klinik dan hospital swasta untuk mendaftar pesakit positif Covid-19 di dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA) yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan.

“Sekiranya ada pesakit didapati positif Covid-19 pada hari tersebut, pusat kesihatan terbabit perlu mendaftar nama pesakit tersebut di SIMKA pada hari sama,” katanya dalam sidang akhbar semasa melakukan lawatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium tertutup Malawati di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, peningkatan kes Covid-19 di negeri ini adalah disebabkan kelewatan klinik dan hospital swasta melaporkan kes positif dalam SIMKA.

Malah, kes Covid-19 di Selangor terus mencatat peningkatan apabila semalam negeri ini menjadi negeri yang mencatatkan kes Covid-19 tertinggi, iaitu sebanyak 1,606 kes.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Sha’ari Ngadiman berkata, seramai 80 petugas kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Petaling (PKDP) akan ditugaskan di CAC Stadium Malawati yang beroperasi dari Isnin hingga Sabtu.

“Pesakit yang ingin melakukan penilaian Covid-19 perlu membuat temu janji terlebih dahulu sebelum hadir ke CAC,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN