KUALA LUMPUR: Isu pembahagian kerusi dalam kalangan parti Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sekali lagi mencetuskan tanda tanya.
Terbaharu, timbul desas-desus kononnya UMNO hanya layak diberi 56 kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, perkara tersebut menerima reaksi berbeza daripada Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber mempersoalkan cara pembahagian kerusi tersebut dibuat dan menyifatkannya sebagai melampau sekiranya benar.
“Adakah PN rasa mereka dominan kerana mentadbir negara? Ini tidak sepatutnya berlaku. Perlu diingat dalam PRU-14 sebelum ini ada negeri yang mereka bertanding tidak menang pun tetapi sekarang mahu letak sampai lima kerusi dalam PRU-15.
“Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku dan kita akan bawa kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi bagi UMNO yang diketuai Datuk Seri Mohamad Hasan. Malah kami telah berbincang sekiranya mereka mahu tukar kerusi seperti di Langkawi, kita perlu tukar kerusi yang menang dengan kerusi yang menang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Bagaimanapun, pandangan berbeza diberikan salah seorang ahli MT yang menyifatkan jumlah 56 kerusi yang diberikan itu sebagai berbaloi.
Menurut sumber, 47 kerusi difahamkan akan diberi kepada Bersatu, sementara Pas sebanyak 30 kerusi dengan menjadikan jumlah keseluruhan adalah 130 kerusi yang mewakili orang Melayu.
Katanya, jumlah pengundi Pas dan Bersatu secara automatik dijangka beralih kepada UMNO yang dilihat mampu untuk mendominasi gabungan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
“Ia sekali gus memberi peluang kepada UMNO untuk melantik calon Perdana Menteri. Kalau UMNO fikir untuk menang, kita perlu fikir sesuatu yang lebih strategik untuk mendapatkan kemenangan itu. Kita nampak 56 kerusi itu sedikit, tetapi kalau semua pengundi Melayu secara penuh mengundi UMNO yang turut mewakili Pas dan Bersatu di sesebuah kawasan, UMNO yang untung kerana undi tidak berpecah.
“Keuntungan yang sama turut akan dirasai oleh Pas dan Bersatu di kawasan-kawasan lain,” katanya.
Jelas sumber, UMNO harus mengambil pengajaran daripada kekalahan pada PRU lalu sekali gus mencari satu formula menang-menang bagi UMNO serta parti Melayu yang lain.
Menyedari perkara itu, tambah sumber lagi, UMNO bukan lagi kuasa besar seperti dahulu yang mampu mendominasi kerajaan atas usaha parti itu sendiri tanpa bergabung dengan pihak lain.
Dalam perkembangan lain, difahamkan isu pembahagian kerusi dalam kalangan PN masih belum mempunyai kata putus sehingga kini. – UTUSAN









