Kerajaan bukti pendakwaan dibuat tanpa pilih kasih - Utusan Malaysia

Kerajaan bukti pendakwaan dibuat tanpa pilih kasih

KHAIRIL AZMIN MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor dan kini bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad membuktikan institusi kehakiman negara bebas daripada pengaruh politik.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Mokhtar berkata, kerajaan secara tidak langsung menafikan tanggapan dan jangkaan bahawa pendakwaan terhadap beberapa pemimpin negara digugurkan setelah berlaku pertukaran kerajaan.

“Walaupun pendakwaan terhadap Najib, Tengku Adnan dan Mohd. Isa dilakukan ketika mereka pembangkang, apabila kerajaan bertukar dan mereka menjadi ahli parti kerajaan, pendakwaan tetap diteruskan.

“Ini menunjukkan kerajaan tidak bersikap pilih kasih dan tidak menyebelahi sesiapa. Individu yang mewakili kerajaan juga boleh didakwa jika bersalah, malah pemimpin negara pun tidak terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Pada masa sama, Khairil Azmin menganggap pendakwaan yang bebas memberi keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman dan keyakinan pelabur asing terhadap sistem perundangan negara.

“Sebelum ini, pihak pendakwaan sering dipersoal kerana ia dilakukan secara terpilih terhadap individu tertentu sahaja seperti pembangkang atau orang yang tidak senada dengan kerajaan, tetapi yang berpe­ngaruh terlepas dari hukuman.

“Namun, rakyat kini menjadi semakin yakin terhadap institusi kehakiman kerana rule of law berkuat kuasa bukan sebagai teori sahaja tetapi keluhuran perlembagaan diamalkan, menimbulkan keyakinan kepada rakyat dan pelabur asing,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap Peguam Negara dapat menghentikan sebarang pendakwaan secara terpilih pada masa akan datang.

“Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mendakwa individu namun mempunyai konflik sama ada tunduk kepada peme­rintah atau bersifat neutral.

“Sebab itu, ada yang mahu kerajaan mengasingkan pe­ranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya seperti dilakukan beberapa negara asing. Namun selagi konsep rule of law dipegang, selagi itu pendakwaan boleh dibuat dan bebas daripada arahan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN