fbpx

Kementerian Kesihatan puas hati pematuhan SOP dalam LRT

DR. NORIAH Hajib memberi penerangan kepada penumpang mengenai pentingnya mematuhi SOP dan penjarakan sosial bagi memerangi pandemik Covid-19 dalam program pematuhan SOP di dalam tren oleh Kementerian Kesihatan di LRT Laluan Ampang/Sri Petaling semalam. - FOTO/MOHD. FAITH EZENE 

KUALA LUMPUR: Delegasi pegawai Kementerian Kesihatan yang membuat tinjauan terhadap pematuhan operasi prosedur standard (SOP) dalam kalangan pengguna perkhidmatan awam semalam, melahirkan rasa puas hati dengan langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan di LRT Laluan Ampang/Sri Petaling.

Diketuai oleh Ketua Pegawai Kesihatan Kawasan Cheras, Dr. Noriah Hajib, pasukan seramai 15 anggota turut mengadakan sesi penerangan dan kempen kesedaran kepada para penumpang ketika tinjauan pematuhan SOP di dalam tren dan di stesen-stesen Cheras, Bandar Tun Razak dan Bandar Tasik Selatan. 

Ketua Operasi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Harman Hamzah yang mengiringi delegasi itu sepanjang tinjauan berkenaan, turut memberi penerangan kepada Dr. Noriah dan anggota pasukannya tentang langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan termasuk mewajibkan anggota barisan depan memakai pelindung muka ketika bertugas dan berurusan dengan para pelanggan.   

“Program ini kami jalankan selaras dengan saranan kerajaan dengan slogan #kitajagakita. Justeru itu, Pihak Operasi Laluan Ampang/Sri Petaling menerima pelawaan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Cheras untuk berkolaborasi membuat sesi kesedaran dan pemeriksaan terhadap penumpang-penumpang di sekitar daerah Cheras dan juga di dalam tren,” kata Harman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Rapid Rail hari ini. 

Beliau gembira kerana rata-rata penumpang amat responsif terhadap penerangan yang diberikan oleh Dr. Noriah dan pasukannya di samping patuh dengan keperluan pemakaian pelitup muka dengan kemas dan melaksanakan secara kendiri penjarakan sosial semasa berada di dalam tren.

Katanya, Dr. Noriah turut memuji dan mengalu-alukan langkah yang diambil oleh pihak pengurusan Rapid Rail khususnya LRT Laluan Ampang atas kesudian bekerjasama dengan pihak KKM untuk bersama-sama 

“Beliau berharap usaha dan kerjasama ini menjadi contoh kepada syarikat-syarikat korporat lain khususnya operator pengangkutan awam bagi menyuntik kesedaran dalam kalangan para penumpang dan orang awam betapa usaha menghentikan penularan ini perlu hadir dari semua pihak. Pengamalan norma baharu ini perlu berterusan bagi memastikan penularan ini dapat diputuskan. 

“Bagi pihak RapidKL terutamanya Laluan Ampang/Sri Petaling, kami akan membuat pemeriksaan secara berterusan khususnya di waktu puncak bagi memastikan SOP dipatuhi.

Semoga kita dapat menjalani norma kehidupan baru bersama. #kitajagakita #lindungidirilindungisemua,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!