PUTRAJAYA: Tidak perlu melaga-laga dan membandingkan pendakwah yang menularkan misi dakwah dan bantuannya dengan pendakwah lain yang tidak popular.
Orang ramai sewajarnya tidak berbuat demikian kerana ada ramai pendakwah memilih untuk bekerja atau bergerak secara diam-diam tanpa menghebohkan kepada umum.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, adalah tidak adil membandingkan usaha pendakwah yang kurang popular dalam media sosial dengan pendakwah lain yang lebih popular sedangkan mereka juga membuat usaha yang serupa.
Merujuk kepada pendakwah bebas, Ebit Lew yang baru-baru ini mengislamkan penduduk di Semporna, Sabah, Nasrudin berkata, hakikatnya, ramai pendakwah yang turun ke lapangan menjalankan usaha dakwah namun memilih untuk tidak menghebohkan gerakan itu.
Katanya, ini kerana dalam menjalankan usaha dakwah, ada beberapa strategi menuntut agar usaha tersebut tidak dihebohkan.
“Kadang-kadang berdakwah juga perlu strategi. Ada perlu dihebohkan, ada pula yang usah dihebohkan. Contohnya kalau ditularkan, ia akan jadi isu umpamanya, itu usahlah ditularkan. Tapi kalau hebahan itu untuk beri motivasi kepada orang ramai, maka itu boleh dihebohkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Kata Nasrudin, sikap segelintir pendakwah yang menggunakan popularitinya hanya akan mendorong orang ramai membuat penilaian yang tidak adil.
Hal ini kerana, jelas beliau, ramai yang turun ke lapangan termasuk di Sabah, Sarawak serta perkampungan Orang Asli di Semenanjung untuk membuat kerja dakwah, namun tidak menghebohkan usaha tersebut.
“Terlalu banyak agensi, NGO dakwah yang bergerak dan bekerja menyampaikan dakwah. Jadi kita kena rai semua,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nasarudin menyelar tindakan Wan Noor Hayati Wan Alias atau dikenali sebagai Ibu Yati yang baru-baru ini memperkenalkan ‘agama Melayu Islam’.
“Kesannya sangat besar andai ia berlarutan. Lebih-lebih lagi kalau ia diterima golongan yang tiada asas agama yang mendalam, yang sukar menilai atau mengenal pasti apakah ajaran itu benar atau tidak,” katanya.
Justeru, beliau berkata, Yadim telah meminta pihak berautoriti untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap penyebaran ajaran itu.
Ikuti wawancara penuh di muka surat 12 dan 13. – UTUSAN










