GEORGETOWN: Tekanan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan memaksa sekurang-kurangnya tiga hotel terkenal di sini, menukar strategi menjual makanan air tangan cef mereka dengan membuka warung di depan hotel masing-masing.
Hotel dimaksudkan ialah Hotel Jen Penang; Hotel Royal Penang dan Hotel Red Rock di pusat bandar dengan ada yang menawarkan menu makanan pada harga serendah RM2.
Dijangkakan lebih banyak pengurusan hotel termasuk bertaraf lima bintang di sini mengambil langkah serupa bagi menjana pendapatan apatah lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilanjutkan dua minggu lagi.
Pengurus Bahagian Komunikasi Hotel Jen Penang, Ellie Yeoh berkata, hotel itu perlu mengambil langkah di luar kotak dengan menjual makanan dari dapur cef mereka untuk terus bertahan.
Katanya, sebanyak enam menu kegemaran rakyat negeri ini antaranya char kuey teow, nasi goreng, mi Hokkien dan nasi ayam dijual di tiga buah warung yang dibuka di hadapan hotel itu.
Katanya, kesemua menu itu dijual pada harga berpatutan iaitu antara RM6 hingga RM8.50 dan beroperasi bermula pukul 11 pagi hingga 8 malam setiap hari.
“Idea membuka warung ini datang selepas pengurusan mendapati ramai pelanggan yang merindui makanan di hotel dan kami cuba tawarkan kepada pelanggan menu kegemaran pada harga warung,” katanya di sini semalam.
Menurut Ellie, sambutan yang diterima daripada pelanggan sangat menggalakkan memandangkan lokasi hotel berkenaan terletak di kawasan pusat bandar.
Tambahnya, walaupun perniagaan konsep baharu berkenaan tidak dapat menampung kerugian akibat pandemik Covid-19, namun para pekerja hotel itu kembali bersemangat untuk bekerja.
“Sebelum ini pekerja memang risau dan hotel suram kerana tiada pelancong, namun kini mereka kembali gembira kerana dapat bertugas semula,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Royal Penang, Amran Paib berkata, pihaknya membuka gerai di hadapan hotel itu untuk menjual menu sarapan berharga antara RM2 hingga RM3 bagi membantu menambah pendapatan hotel yang merosot teruk akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, antara menu sarapan yang dijual ialah kuih-muih, teh tarik, mi goreng, nasi goreng, bihun goreng, kuey teow goreng dan sandwich.
“Memandangkan tiada tempahan bilik penginapan sepanjang PKP, kami mencari jalan membantu menambah pendapatan hotel yang terjejas teruk.
“Hasil jualan ini juga untuk menampung pembayaran gaji pekerja termasuk yang dipotong gaji sepanjang PKP dan digunakan untuk sebarang kemungkinan sama ada terdapat kakitangan terpaksa diberhentikan dan sebagainya,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, pengurusan hotel berkenaan turut membuka gerai jualan makanan tengah hari seperti nasi campur, nasi tomato dan nasi minyak pada harga RM7 di Kompleks Penang Plaza, Jalan Burma mulai pukul 10 pagi hingga 6 petang. – UTUSAN ONLINE











